KOTA BHARU: Sebelum ini kelihatan kesungguhan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Malangnya hasrat Perdana Menteri tersebut berdepan dengan halangan politik oleh kementerian tertentu.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Zamakshari Muhamad berkata, masih terdapat halangan politik bagi menjalinkan hubungan rapat antara kedua-dua pihak.
"Secara umum saya melihat isu ini lebih terarah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sedangkan hubungan antara negeri dan persekutuan sangat baik.
"Begitu juga hubungan saya selaku Exco Sukan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh begitu baik," katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan dan persediaan atlet Para SUKMA Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan di Panji di sini hari ini.
Semalam Zamakshari meluahkan perasaan kecewa apabila usahanya untuk menemui atlet Kelantan yang akan menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dihalang.
Menurutnya sebagai wakil kerajaan negeri yang diberi amanah untuk membangunkan sukan di Kelantan, sekatan tersebut perlu dimansuhkan demi kepentingan, bakat dan masa depan atlet.
"Dalam kes ini sangat spesifik hanya melibatkan Exco Sukan dengan atlet yang akan mewakili negeri, saya rasa sepatutnya ada sedikit kelonggaran.
"Kita bercakap mengenai masa depan sukan dan bila sebut sukan, bukan Kelantan sahaja, atlet itu juga boleh mewakili negara untuk kepentingan sukan negara," katanya.
0 Comments