Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 11 September - Kerajaan Negeri Kelantan mengagihkan sebanyak RM40,500 kepada 81 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dalam pelbagai bidang pengajian peringkat Sarjana Muda.
Sumbangan RM500 setiap pelajar itu disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Berucap pada majlis tersebut Menteri Besar berkata, menyedari kepentingan ilmu dalam membangunkan modal insan, kerajaan negeri telah meletakkan kepentingan pendidikan itu sebagai fokus utama dalam pentadbiran.
Jelasnya, dalam bajet 2024, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM125.2 juta untuk kelestarian pendidikan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Jumlah RM125.2 juta yang disediakan ini adalah untuk pelaksanaan program-program kecemerlangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta pelajar lanjut pengajian di luar negara.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini untuk memastikan pelajar di bawah kendalian kita berjaya dan seterusnya mengharumkan nama negeri terutamanya dalam sistem pendidikan,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Kecemerlangan Peperiksaan Dan Pelajar Ke Timur Tengah hari ini.
Sementara itu, semua pelajar cemerlang di bawah YIK ini antaranya 40 orang akan menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Manakala seramai 18 orang dalam bidang Al-Quran dan Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra dan seorang lagi akan memasuki kuliah ulum Islamiah.
Selain dari itu, tiga pelajar akan mengikuti bidang perubatan dan pergigian, manakala seramai 12 pelajar yang lain ke universiti di Jordan serta tujuh lepasan Pusat Pengajian Pondok YIK, Kandis akan menyambung pengajian di Universiti Zaitunah di Tunisia.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah Yayasan Kelantan DarulNaim (YAKIN), Nik Jessim Nik Hashim.
0 Comments