Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 11 September – Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud turun padang meninjau rumah pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ketereh petang semalam bagi mengenalpasti beberapa isu dan tindakan segera yang boleh diambil untuk menyelesaikan kemelut kekurangan bekalan air yang dihadapi hampir 7000 pesawah dan petani.
Penegasan Menteri Besar, Kerajaan Negeri Kelantan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bekerjasama memastikan Sistem Pam Kemubu dan Lemal dapat disiapkan segera melalui peruntukan yang berjumlah RM20 juta.
“Insya-Allah nasib petani-petani di negeri ini akan dapat diselesaikan secepat yang mungkin, tunggu mesyuarat pembentangan di Mesyuarat EXCO pada rabu nanti, kerana sebelum ini pun kita telah adakan perbincangan bersama pihak KPKM.
“Bagaimanapun, melalui mesyuarat yang lepas kita bersetuju melakukan tiga pendekatan kerja iaitu penyelesaian segera dan darurat, kerja penyelesaian jangka sederhana dan kerja penyelesaian jangka panjang,” jelasnya kepada media selepas mengadakan lawatan berkenaan.
Sementara itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam membela nasib pesawah melalui usaha yang dimohon dengan Kerajaan Persekutuan melalui kaedah telaga tiub dengan anggaran kos sebanyak RM1.2 juta. Malah Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sebanyak RM350 ribu bagi tujuan pemecahan batu hampar.
Faktor kemarau, aras sungai dan operasi pam yang menjadi masalah utama itu mendapat perhatian beliau dan sebagai usaha jangka masa panjang, pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) atau ampang jajar akan dibina dengan anggaran kos RM700 juta yang berfungsi untuk mendapatkan bekalan air pada dua musim setahun selain jaminan sumber air yang mencukupi pada musim kemarau.
Dalam sesi lawatan itu, Menteri Besar turut meluangkan masa dengan Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (PESAK).
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Saizol Ismail, Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa yang turut menyampaikan taklimat dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Mohamad Nazwan Ismail.
0 Comments