Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN LANCAR TUISYEN RAKYAT SEJAHTERA

Oleh: Zaki Mustafa

BANGI, 3 September – Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan dengan jumlah peruntukan tahunan (permulaan) sebanyak RM477,000 bersamaan RM10,600 bagi setiap Dewan Negeri (DUN). 

Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan ditawarkan kepada 30 pelajar calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi setiap DUN. Program ini dijadualkan bermula 17 Oktober tahun ini untuk tempoh selama lapan minggu kelas pengajian.

Program tuisyen percuma ini bertujuan membantu pelajar yang menghadapi kesukaran dalam pencapaian akademik disebabkan oleh kekurangan akses kepada pendidikan tambahan dan sebagai langkah untuk membantu mereka meningkatkan potensi diri dan persediaan secukupnya untuk menghadapi peperiksaan SPM.

“Kita hendak jenamakan dan melibatkan DUN dan peruntukan sayapun (kerajaan) telah diberi ke DUN (sebanyak) RM10 ribu. Kita hendak jenamakan sumbangan kerajaan.

“Bila mesyuarat SG4 baru-baru ni, saya kata saya nak buat segera,” ujar Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Wan Roslan Wan Hamat di Majlis Taklimat Garis Panduan Pelaksanaan dan Pelancaran Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan 2024 di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi pagi ini.

Turut hadir beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Negeri, Ahli Parlimen, Ketua Panel Pakar Bengkel Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4, YB Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri, Pengarah Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), Nik Jessim Nik Hashim dan Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Ustaz Sukeri Hussin yang turut menyampaikan taklimat garis panduan pelaksanaan.

Kelas tuisyen percuma ini melibatkan empat mata pelajaran teras; Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Aspek teknikal penyediaan dan pengurusan program ini serta pemilihan pelajar melibatkan kerjasama Pusat Khidmat DUN, Yayasan Islam Kelantan (YIK), Yakin dan pihak sekolah serta terbuka kepada semua sekolah kementerian dan YIK. 

Tawaran tuisyen percuma ini merupakan salah satu daripada agenda Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 yang baru sahaja selesai Sidang Kemuncak SG4 semalam di hotel yang sama.

Post a Comment

0 Comments