Ticker

6/recent/ticker-posts

TIGA GAGASAN MENUJU KELANTAN SEJAHTERA 2033-MB KELANTAN

Oleh: Asri Hamat 

BANGI, 2 September- Kelantan meletakkan tiga gagasan utama untuk menuju ke arah Kelantan Sejahtera 2033.

YAB Menteri Besar, Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, tiga gagasan tersebut ialah perkukuhkan kepimpinan ulamak, pemerkasaan ekonomi dan memperkukuhkan budaya kerjasama dan kebersamaan. 

"Melalui gagasan memperkukuhkan kepimpinan ulamak, Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK). Melalui DPRK ini, Kerajaan Negeri Kelantan bercita-cita untuk membangunkan masyarakat melalui sistem pendidikan yang holistik ke arah melahirkan insan mulia yang faqih dan bertanggungjawab. 

"Selain daripada DPRK, Kerajaan Negeri Kelantan juga memperkenalkan Budaya Komuniti Rabbani (K-RABB) bagi membentuk rakyat yang hidup berpandukan wahyu dan seiring dengan hala tuju kerajaan ke arah Penghayatan Membangun Bersama Islam". 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Kemuncak State Government 4 (SG4) di sebuah hotel di Bangi Selangor hari ini. 

Dari segi aspek ekonomi pula, beliau berkata, Kelantan mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil dengan memberi fokus kepada sektor-sektor strategik seperti pertanian, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pelancongan yang berasaskan alam semulajadi dan budaya. 

"Dengan pembangunan pusat-pusat keusahawanan di Kelantan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perusahaan mereka khususnya dalam sektor makanan dan kraftangan". 

"Infrastruktur asas yang semakin berkembang pesat seperti kawasan perindustrian, jalan raya serta kemudahan logistik juga turut mempengaruhi aktiviti perniagaan dan pelaburan di Kelantan", katanya. 

Dari sudut budaya kerjasama dan kebersamaan pula, YAB Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri Kelantan melalui politik matang dan sejahtera akan sentiasa mengamalkan konsep federalisme secara profesional antara kerajaan negeri dan persekutuan. 

"Ditambah pula dengan kewujudan SG4 ini pula akan menambah kekuatan antara negeri-negeri dalam SG4 ini untuk mengorak langkah kepada kesepaduan kerjasama yang membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

"Diharap kerjasama di antara negeri-negeri dalam SG4 ini dapat dipereratkan lagi dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negara dan negeri melalui kerjasama strategik dengan rakan-rakan dalam SG4", ujarnya lagi.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Sri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Sri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar  Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli, Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dr Fadzli Dato' Hassan serta Setiausaha Eksekutif SG4, YB Dato' Takiyudin Hassan.

Post a Comment

0 Comments