Ticker

6/recent/ticker-posts

NEGERI-NEGERI SG4 DESTINASI BAHARU PELABURAN- MB TERENGGANU

Oleh:Asri Hamat 

BANGI, 3 September- Negeri-negeri dalam State Government 4 (SG4) berpotensi untuk menjadi destinasi baharu pelabur tempatan dan antarabangsa.

Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Majlis Menteri-Menteri Besar SG4, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri-negeri sebelah Pantai Barat yang sudah lama membangun menuju ke arah kekurangan sumber.

"Kita sedar bahawa pembangunan di negeri-negeri di Pantai Barat telah menuju ke arah kekurangan sumber. Keadaan ini membuka ruang kepada negeri-negeri SG4 untuk menarik pelaburan yang berprestasi tinggi ke negeri-negeri SG4.

"Dengan berlakunya kekurangan sumber di negeri-negeri di sebelah Pantai Barat, maka negeri-negeri di SG4 yang masih mempunyai sumber baharu boleh diguna pakai oleh para pelabur.

"Sumber-sumber baharu yang ada di negeri-negeri SG4 ini merangkumi bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral termasuk unsur nadir bumi (REE), pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau, karbon kredit, perdagangan, eko pelancongan, industri halal, teknologi kewangan dan pendidikan."

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak SG4 di sebuah hotel di Bangi pada Isnin. Kesemua Menteri Besar SG4 hadir sama dalam sidang media tersebut.

Ahmad Samsuri turut menjelaskan SG4 akan memberi tumpuan untuk memajukan industri memproses REE dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi empat negeri dalam SG4. Ini kerana industri ini mampu menghasilkan pendapatan yang tinggi.

"REE ini kalau ia dalam bentuk asal harganya sangat rendah, namun apabila kita proses ke dalam bentuk yang bernilai tinggi seperti kadmium (unsur logam) dan sebagainya, harganya akan meningkat beratus kali ganda dan usaha ini menjadi keutamaan kita," jelasnya.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak SG4 ini adalah kali pertama diadakan sejak setahun SG4 ditubuhkan iaitu pada 2 September 2023 yang lalu. Hampir 500 peserta menghadiri sidang tersebut yang terdiri daripada Menteri Besar, Exco-Exco, pegawai kanan kerajaan negeri, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Dewan Rakyat dari negeri-negeri SG4 dan sekutu serta jemputan khas.

Post a Comment

0 Comments