Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 25 September – Kilang Padi Darul Naim dijangka beroperasi semula pada tahun 2025.
Menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, kilang yang dibina di atas tanah seluas lapan ekar itu telah lama terhenti operasinya dan terbiar.
"Pihak kita (kerajaan negeri) melalui pelaburan swasta dan kerjasama PKPNK mengambil inisiatif untuk baik pulih kilang ini. Insya-Allah ia dijangka dapat beroperasi semula sebaik sahaja pembinaan bangunan baharu siap.
"Kita jangkakan kilang ini boleh memulakan semula operasi sepenuhnya pada tahun hadapan," jelasnya.
Tambahnya, kilang tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran padi antara 30,000 hingga 40,000 tan pada satu masa, menjadikannya aset penting bagi industri pertanian di Kelantan.
YB Tuan Mohd Saripuddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK), Nik Razak Nik Hassan mengadakan lawatan ke tapak kilang tersebut di Kampung Meranti, hari ini.
Beliau turut berharap inisiatif itu dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud akan memberi sumbangan besar kepada usaha menjamin sekuriti makanan negeri dan negara.
0 Comments