Oleh : Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 25 September – Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menasihatkan kepada 7,270 akaun pelanggannya agar menjelaskan bayaran tunggakan bil air yang telah dipotong selewat-lewatnya sehingga 15 Oktober tahun ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
AKSB dalam satu kenyataan bertulis yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya itu menyebut, jumlah terbabit melibatkan akaun pengguna dalam tempoh dua tahun, iaitu bermula tahun 2022 hingga 2023.“Untuk rekod, sejumlah 3,316 akaun bil telah dipotong pada tahun 2022 dengan nilai tunggakan sebanyak RM2.379 juta yang masih belum dijelaskan.
“Manakala untuk tahun 2023 pula, jumlah tunggakan adalah sebanyak RM2.196 juta direkodkan dengan bilangan akaun pengguna sebanyak 3,954.”
Tambah kenyataan itu, Unit Penguatkuasaan AKSB kini giat menjalankan gerak kerja dengan membuat pemotongan air di rumah-rumah pengguna atau premis aktif terlebih dahulu yang melibatkan tunggakan bil melebihi tiga bulan.
Sementara itu, dalam tempoh 45 hari bil akhir akan dikeluarkan dan jika pengguna masih gagal menjelaskan tunggakan, maka penolakan deposit ke atas baki tunggakan akan berjalan menjadikan akaun tersebut tidak aktif dan berhutang.
0 Comments