Ticker

6/recent/ticker-posts

PAS Sabah wacana isu politik bersama profesor USM

 

KOTA KINABALU: Pemimpin PAS Sabah berkongsi pandangan dengan pakar Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkaitan isu-isu politik Sabah.

Ketua Penerangan PAS Sabah Mustaman Mustain berkata, turut dibincang berkaitan parti-parti politik di Sabah, perkembangan PAS dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu perbincangan berkaitan pengajian pasca siswazah yang sangat memberi inspirasi kepada pemimpin PAS di Sabah.

“Sangat banyak percambahan ilmu yang dicurahkan Prof Ahmad Fauzi dalam sesi tersebut, ditambah dengan pertukaran pandangan sesama pimpinan yang hadir.

“Terubat sedikit rindu dengan pensyarah-pensyarah USM yang jauh di mata dekat di hati. Kali terakhir bersua muka Mac lalu,” katanya pada catatan di laman sosialnya. 

Turut hadir pada pertemuan tersebut termasuk Pesuruhjaya PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan dan Setiausaha PAS negeri Sahar Abdul Majid.

Prof Ahmad Fauzi berkunjung ke Sabah bagi menyampaikan syarahan di Unversiti Malaysia Sabah (UMS) bertajuk "Violent Extremism As a Manifestation of Political Islam: The Malaysian Case?".

Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) mulai diperkatakan sekarang memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 dijangka berakhir pada Oktober 2025.

Bagimanapun sebelum ini Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan tempoh Dun yang ada sekarang masih panjang.

Hajiji mengetuai kerajaan Sabah selepas membentuk Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dengan mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun pada PRN16 beliau menang atas tiket Bersatu dan membentuk kerajaan hasil kerjasama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) pada September 2020.

 

Gabungan parti terbabit dikenali sebagai Gaburan Rakyat Sabah (GRS).

Post a Comment

0 Comments