KOTA BHARU: Pemimpin DAP dianggap kelam kabut apabila kenyataan ahli parlimen Seputeh Teresa Kok berkaitan sijil halal dikecam pelbagai pihak.
Ekoran itu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menganggap kenyataan Teresa sekadar menyuarakan kebimbangan dalam kalangan pengusaha restoran bukan Islam kemungkinan mereka juga diwajibkan mendapat sijil halal.
Oleh itu beliau dilapor menganggap isu sijil halal tidak harus dipolemik.
Pensyarah Psikososio Dr Zulkeflee Yaacob berkata, berdasar kenyataan itu jelas semua perkara dan hal berkaitan umat Islam dilihat buruk dan alahan oleh pimpinan DAP.
Sedangkan katanya ia termaktub dalam perlembagaan fasal 3 dan 11 berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Inilah minda penjajah masih menebal dalam kasus entiti mereka apatah sejak memiliki tampuk dalam kerajaan Madani dengan dibantu Umno.
“Pelaksanaan sijil halal untuk meningkatkan kualiti produk terutama makanan, malah mengesahkan sesuatu produk itu baik dan bersih,” katanya di sini.
Sebelum ini Teresa dilapor berkata, cadangan pelaksanaan pensijilan halal ke atas restoran makanan seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasar permintaan pasaran, bukan secara pakasa.
Menurutnya cadangan mewajibkan restoran memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada peniaga kecil.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak sehingga Pemuda PAS di beberapa tempat termasuk Kelantan membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP terbabit.
Sebelum itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada kenyataan mempertimbang cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan.
Dr Zulkeflee juga berkata, pemimpin DAP masih lagi dianggap mahu menegak benang basah biar pun Teresa disiasat polis kerana kenyataannya dianggap menyentuh isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).
0 Comments