LEBIH 35,000 rakyat Kelantan hadir pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat negeri di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V pada malam 30 Ogos lepas.
Jumlah itu tidak termasuk ribuan lagi yang berada di sekitar stadium kerana tidak dapat masuk disebabkan stadium penuh.
Kelainan acara di Kelantan di mana sambutan prakemerdekaan dan acara penuh diadakan pada malam 30 Ogos, manakala pagi 31 Ogos dianjurkan karnival merdeka di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).
Malaysia Madani Jiwa Merdeka: Penghayatan Membangun Bersama Islam tema yang dipilih kerajaan Kelantan tahun ini.
Tema berkenaan mengajak rakyat memahami erti jiwa merdeka daripada segala pengaruh yang boleh membawa kepada pemikiran negatif, sebaliknya mengikut syariat.
Sambutan itu bermula dengan perarakan masuk Jalur Gemilang dan bendera Kelantan, kemudian diikuti kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian diketuai Angkatan Tentera Malaysia, gabungan 8 Briged ATM dan pancaragam Sekolah Menengah Sains Machang.
Perarakan disertai 67 kontinjen yang mewakili pasukan beruniform, badan-badan berkanun, anak-anak syarikat kerajaan negeri dan swasta yang melibatkan 2,345 peserta.
Antaranya Polis DiRaja Malaysia, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Air Kelantan Sdn Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Perbendaharanaan Negeri dan lain-lain.
Selain itu, turut diadakan pertunjukan seni bela diri, pentomen kemerdekaan (Tok Janggut), bacaan puisi dan persembahan lagu-lagu patriotik.
Sebaik sahaja detik 12.00 malam, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali diikuti orang ramai yang hadir, kemudian tembakan bunga api warna warni.
Sementara itu, johan perbarisan dimenangi Kesatria Universiti Teknologi Mara, (UiTM), kedua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Ketiga, Perbendaharaan Negeri Kelantan, keempat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan kelima Veteran Angkatan Tentera Malaysia.
0 Comments