Ticker

6/recent/ticker-posts

Masih ada kedamaian di SG4


Oleh ARUS LEBIR 

MELEWATI jalan dari Kangar ke Padang Besar boleh ditemui sawah luas mata memandangkan. Di kiri jalan ditemui hamparan seperti karpet hijau. Kebun pokok harumanis juga subur di tepi jalan.

Dari jauh kelihatan bukit batu kapur yang berdiri di hujung bendang. Inilah Perlis berbeza dengan negeri-negeri lain.

Negeri kecil itu terletak di utara Semenanjung. Saiz bumi Perlis 821 kilometer persegi. Jumlah penduduk pada tahun 2020 seramai 284,885 orang.

Majoriti penduduk ialah golongan Bumiputera iaitu 88.8 peratus. Maka tidak hairanlah Umno (BN) mampu menguasai negeri itu sejak merdeka sehingga 2022. 

Malangnya Pilihan Raya Umum (PRU) pada 19 November 2022 BN hilang semua kerusi. Hari ini Perlis ditadbir Perikatan Nasional (PN) apabila menguasai 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pakatan Harapan (PH) lebih bernasib baik berbanding BN. PH menang di Dun Indera Kayangan melalui Gan Ay Ling.

PN juga menguasai tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau. Tidak pernah dijangka tsunami seumpama itu. Penguasaan BN hampir 65 tahun lenyap dalam sekelip mata.

Perlis diyakini mampu menjejaki Kelantan apabila PAS menguasai negeri itu sejak 1990 sehingga sekarang. Situasi serupa juga dijejaki Kedah dan Terengganu.

Apa puncanya. Tidak lain lagi kerana dominasi pengundi Melayu.   

Maka Perlis di bawah Menteri Besar Mohd Shukri Ramli perlu mengekalkan track record seperti di Kelantan. Elemen utama membebaskan pentadbiran negeri daripada sebarang unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kelantan mengekalkan rekod bebas sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan sejak 1990 sehingga sekarang membabitkan pemimpin kerajaan negeri,” kata Menteri Besar Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.  

Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN) meneruskan kesinambungan pentadbiran era lalu dengan menambah baik kelompangan yang ada.

Pelancongan

Tumpuan diberi di bawah Mohd Shukri dengan merancakkan sektor pelancongan. Kerajaan negeri menganjur Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Sasarannya mengamit kedatangan seramai 3.5 juta pelancong ke negeri itu. Kata Menteri Besar, Perlis menjadi antara negeri pilihan utama pelancong.


Buktinya Wang Kelian View Point mendapat anugerah Gold Award Must Visit Place (Northern) di Malaysia Tourism Council Gold Awards 2022.

Selain itu, Kampung Seberang Ramai mendapat Anugerah Presiden sempena Majlis Anugerah Perancangan Cemerlang oleh Institut Perancang Bandar Malaysia.

Kedudukan Perlis sama seperti Kelantan dan Kedah kerana bersempadan dengan Thailand. Padang Besar menjadi sempadan darat dengan Thailand. 

Padang Besar terletak 34 kilometer dari Kangar. Dari Kangar kita akan melewati Kampung Salang, Kampung Paya, Kampung Padang Pauh dan Beseri sebelum menjejaki Padang Besar.

Padang Besar bersempadan dengan Wilayah Songkhla. Lokasinya terletak bertentangan dengan Pekan Siam di sebelah Thailand. 

Malah Padang Besar merupakan perhentian akhir stesen keretapi. Tren Elektrik KTM ETS dan Komuter Utara berakhir di Padang Besar.

Rangkaian jalan raya pula disambung ke Lebuhraya Padang Besar–Sadao. Rel kereta api membentuk sebahagian daripada Keretapi Trans-Asia.

Sebelum melewati kawasan sempadan, terdapat kawasan lapang yang begitu luas di Padang Besar. Kawasan itu sedang rancak dibangunkan. 

Pusat pemeriksaan Imigresen dan Kastam terletak kira-kira 300 meter dari sempadan. Kereta api Ekspres melalui pusat pemeriksaan Kastam di Stesen Kereta api Padang Besar. 

Malah, sebelum ini Kerajaan Perlis mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya operasi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dilanjut sehingga jam 12 tengah malam.


Arked Niaga

Sempena cuti persekolahan yang akan bermula seminggu lagi pelancong dari ibu kota boleh berkira-kira berkunjung ke Padang Besar. 

“Datanglah ke Perlis melihat keidahan alam semulajadi,” kata Menteri Besar. 

Berhampiran ICQS terdapat Arked Niaga Padang Besar dan Padang Besar Waremart. Setiap hujung minggu lokasi itu begitu sendat. Pelancong perlu bersabar sebelum dapat memasuki kawasan tersebut. 

Pemandu kena imbas kad ‘Touch N Go’ sebelum palang di kompleks tersebut terbuka. Biar pun banyak parkir disediakan, namun ada ketikanya tidak mencukupi. 

Urusniaga di kompleks itu sehingga jam 6.30 petang. Di arked terbabit ramai penduduk tempatan mencari rezeki. Pelbagai produk dijual terutamanya dari Thailand. 


Malah ada peniaga yang ditemui mengakui berasal dari Thailand. Wanita bertelekung agak labuh itu dan anaknya berulang alik setiap hari mencari rezeki di Padang Besar.   

Situasi seperti itu berlaku di mana-mana kawasan sempadan. Bagaimanapun kerajaan Perlis tidak akan berkompromi dengan peniaga tempatan yang ‘mengalibaba’ premis niaga kepada peniaga dari Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan negeri, Izizam Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, mereka yang dikesan melakukan aktiviti Alibaba berdepan tindakan tegas termasuk ditarik semula lesen premis perniagaan.

“Amaran keras tanpa kompromi kepada peniaga di kawasan di bawah kuasa pentadbiran kerajaan negeri seperti gudang beli-belah Padang Waremart dan Plaza Ria Padang Besar,” katanya. 

Ternyata Perlis mendapat manfaat besar daripada sektor pelancongan. Bagi mengelakkan tragedi lubang jerlus di Kuala Lumpur, warga kota boleh berkunjung ke Perlis. 


Inilah kelebihan Empat Kerajaan Negeri (SG4) yang ditadbir PN. Masih ada kedamaian dan ketenangan.

Post a Comment

0 Comments