Ticker

6/recent/ticker-posts

SG4 RANGKA ‘QUICK WIN PROGRAMME’ UNTUK MUNCUL SEBAGAI JELAPANG MAKANAN NEGARA

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 4 September - Bengkel Kluster Pertanian dan Keterjaminan Makanan SG4 yang telah dilangsungkan serentak pada hari Sidang Kemuncak SG4 bersepakat untuk melestarikan penggunaan tanah dengan pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan pembangunan tanah terbiar bagi merealisasikan hasrat menjadikan negeri-negeri SG4 sebagai jelapang makanan negara.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail yang turut menganggotai kumpulan kluster berkenaan berkongsi beberapa agenda jangka masa pendek, ‘quick win programme’ secara bersepadu di antara empat negeri terlibat.

“Kita juga merangka untuk mengekalkan kawasan sawah padi dan mewujudkan kilang baja dan kilang makanan ternakan serta menubuhkan Koperasi Agro SG4 juga dipandang serius. Tindakan selanjutnya ialah mengagihkan bantuan input dan mekanisasi kepada golongan sasar petani, penternak dan nelayan,” jelasnya.

Kumpulan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, YB Dr. Azman Ibrahim itu turut menyenaraikan usaha untuk mewujudkan dana bantuan modal tani, memperkayakan sumber perikanan, mengadakan program persijilan kualiti dan pemasaran yang menjuruskan penganjuran Karnival Pertanian SG4 nanti.

“Saya percaya melalui gabungan ini, kita mampu mengorak langkah menuju ke arah kejayaan global berlandaskan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI),” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Gabungan State Government 4 (SG4), sebuah kerjasama rasmi secara strategik dan berfokus antara Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah mengadakan Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi pada Isnin.

Konferens yang mempertemukan tokoh-tokoh besar negara termasuk Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan para pemimpin negeri-negeri SG4 itu merupakan platform signifikan bagi mendiskusi pelbagai isu dalam memperkukuhkan agenda pembangunan empat negeri yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani era lebih mencabar.

Antara agenda utama persidangan ialah sinergi dalam konteks ekonomi, pendidikan dan sosial ke arah kecemerlangan pembangunan sesama negeri gabungan.

Post a Comment

0 Comments