Oleh: Zaki Mustafa
KOTA BHARU, 29 September
- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan Kerajaan
Negeri dan Persekutuan berusaha meningkatkan peluang penerokaan tenaga baharu
seperti hidrogen, unsur nadir bumi (REE) dan tenaga solar yang boleh menjana
sumber pendapatan baharu kepada Kelantan.
Baginda turut
menyeru semua pihak meningkatkan kemudahan pelancongan dan tahap kebersihan
serta memperkenalkan produk pelancongan yang lebih menarik untuk menggamit kunjungan
pelancong domestik dan antarabangsa ke Kelantan.
“Beta diberi maklum
sektor pelancongan negeri Kelantan menyumbang sebanyak RM2.6 bilion kepada
ekonomi negeri tahun 2023.
“Beta berharap sempena Tahun Melawat Kelantan pada tahun ini, jumlah pelawat domestik dan pelancong mampu mengatasi rekod yang dicatatkan pada tahun 2023, iaitu 4.09 juta pelancong dan 7.55 juta pelawat domestik,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar hari ini.
Baginda turut
merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju memanjangkan
landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) daripada 2.4 kepada 2.8
kilometer, tambahan sebanyak 400 meter.
Insiatif itu
membuka peluang untuk menaiktaraf LTSIP kepada lapangan terbang antarabangsa
sekaligus akan memacu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serentak
dengan pembangunan jaringan darat.
"Pada masa sama, jaringan pengangkutan darat turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Sukacita beta menyeru agar projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) dapat dipercepatkan pelaksanaannya," titah baginda.
Sultan Muhammad V turut mengambil
berat tentang pembangunan sukan dan atlet menjelang persediaan Kelantan sebagai
tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2028 nanti.
“Harapan beta sebagai tuan rumah SUKMA akan datang, negeri beta mampu
memberi saingan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
”Beta juga menyarankan agar sukan dilihat sebagai
satu sumber janaan ekonomi baharu kepada negeri ini melalui penganjuran sukan
rekreasi dan bersifat pelancongan sukan,” titah baginda lagi.
Di akhir titah, baginda merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan
Negeri, semua penjawat awam negeri dan persekutuan yang telah bersama-sama mencurah
idea dan mengerah
keringat dalam memaju dan menjaga keharmonian negeri ini.
0 Comments