Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 30 September- Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan berjaya mencapai sasaran kutipan pingat keseluruhan apabila mengutip 43 pingat keseluruhan di temasya sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang melabuhkan tirai pada 28 September lalu.
Dengan kutipan 43 pingat keseluruhan ini, Kontinjen Kelantan berjaya menduduki tempat ke enam daripada 15 kontinjen yang bertanding. Kedudukan ini mengatasi kedudukan ke sembilan yang dicapai Kontinjen Kelantan di Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur dengan 36 pingat keseluruhan.
Para SUKMA XXI Sarawak tahun ini, Kontinjen Kelantan meletakkan sasaran 38 pingat keseluruhan namun berjaya mengutip 15 pingat emas, 11 pingat perak dan 17 pingat gangsa menjadikan jumlah pungutan pingat sebanyak 43.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad menerusi catatan di media sosial miliknya berkata, pasukan olahraga menjadi pasukan paling cemerlang menyumbang pingat terbanyak.
"Pasukan olahraga menyumbang 31 pingat keseluruhan dengan enam pingat emas, sembilan pingat perak dan 16 gangsa manjadikanya pasukan yang paling banyak menyumbang pingat untuk Kontinjen Kelantan.
" Pasukan angkat berat juga turut cemerlang apabila berjaya menyumbang enam pingat emas dan satu gangsa manakala pasukan ping pong pula berjaya mengutip dua pingat emas, boling padang satu pingat emas dan satu pingat perak manakala sukan boccia dengan satu pingat perak.
"Tahniah diucapkan kepada semua atlet, jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan yang terlibat," katanya.
Sementara itu, atlet para angkat berat, Mat Hussein Mat Noh menjadi penyumbang pingat emas ke-15 dan terakhir untuk Kontinjen Kelantan bagi kategori 72 kilogram apabila berjaya mengangkat bebanan seberat 155 kilogram sekaligus memecah rekod Para SUKMA.
Untuk rekod, kontinjen Para SUKMA Kelantan menyertai tujuh daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga, angkat berat, ping pong, boling padang, boccia, catur dan badminton.
Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung dari 22 hingga 28 September melibatkan melibatkan seramai 1290 atlet yang bertanding dalam 10 jenis sukan dan 388 acara.
Kontinjen tuan rumah, Sarawak muncul juara keseluruhan dengan kutipan 82 pingat emas, 53 pingat perak dan 74 gangsa sekaligus menjadi kontinjen yang paling banyak menjadi juara iaitu sebanyak 14 kali.
0 Comments