KOTA BHARU: Pada sambutan Hari Keputeraan baru-baru ini Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berharap pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) diberi perhatian serius kerajaan.
Teguran baginda memandangkan projek tersebut sudah lama dirancang, namun belum menjadi kenyataan sehingga sekarang.
Malah, pada 6 September 2022 media melaporkan kajian pembinaan LPT3 selesai dijalankan dan telah dikemuka kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dilapor menunggu tindakan selanjutnya daripada agensi berkenaan dan EPU.
Kerajaan sebelum itu meluluskan pelaksanaan pembinaan LPT3 dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.
Cadangan pembinaan LPT3 melibatkan jarak 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Dan pada 23 Februari 2023 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor berkata, cadangan projek LPT3 akan dilaksana secara penswastaan menerusi kaedah permintaan cadangan (RFP) secara tender terbuka.
Bagaimanapun selepas dua tahun cadangan itu diketengahkan ia belum lagi kelihatan menjadi kenyataan.
Mengulas isu tersebut Adun Pasir Tumboh, Dato' Abdul Rahman Yunus berkata, titah Sultan Muhammad V perlu diberi perhatian serius kerajaan memanandangkan jaringan pengangkutan di Kelantan agak ketinggalan.
"Titah tuanku perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia memberi kesan sangat besar kepada perkembangan sosio ekonomi Kelantan," katanya di sini.
Menurutnya juga projek LPT3 sudah lama diuar-uarkan kerajaan dan dibangkit berkali-kali ahli parlimen di Dewan Rakyat, namun belum menjadi kenyataan sehingga sekarang.
Kata beliau Kelantan sebelum ini banyak diketepikan daripada mendapat projek pembangunan ekoran perbezaan politik di antara negeri dan pusat.
“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana secara jelas membelakangi semangat federalisme,” ujarnya yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan.
0 Comments