Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 9 Oktober – Memperingati genap setahun peristiwa Taufan al-Aqsa yang dilancarkan oleh Harakah Muqawamah Islamiyah (Hamas) pada 6 Oktober tahun lalu, 2000 rakyat Malaysia terus utuh bersolidariti meraikan Himpunan Sambutan Setahun Taufan Al-Aqsa di Dataran Khairunnisa’ Kuala Terengganu, pada Ahad.
Operasi ketenteraan yang disertai kumpulan Islam yang lain itu disifatkan sebagai kedatangan bala tentera Ahzab kerana selepas peristiwa Taufan al-Aqsa terjadi, kumpulan Islam di Palestin mampu berperang sehingga setahun dan masih gagal ditumpaskan oleh Zionis Israel.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari berkata, kita di Malaysia yang jauh beribu-ribu kilometer juga dapat merasakan denyut nadi perjuangan rakyat umat Islam di Gaza.
“Saya yakin bahawa jikalau tidak halangan sempadan atau tanggung jawab lain yang lebih aula (utama) untuk kita berada di sini (Malaysia), anak-anak muda yang berada di hadapan saya ini akan tentu merelakan diri menjadi perisai kepada masjid al-Aqsa, insya Allah.”
“Sesungguhnya darah dan nadi kita, tubuh dan jiwa kita ialah untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa. Al-Quran telah menegaskan kesucian Masjid Al-Aqsa beberapa kali. Tidak ada kalimah ‘barakna fi ha’ kecuali merujuk kepada Masjid Al-Aqsa,” katanya dalam majlis tersebut.
Beliau turut menegaskan tentera Israel bukanlah mustahil untuk dikalahkan. Jelasnya, sejarah merekodkan tentera Mesir pernah mengalahkan tentera Israel dalam Perang 6 Oktober atau Yom Kippur.
“Pada tahun 1969 di dalam peperangan enam hari di antara beberapa buah negara Arab menentang Israel pada masa itu, Israel telah mendapat kemenangan menawan beberapa lokasi strategik yang dimiliki oleh negara Arab Mesir, Syria, Jordan, tetapi empat tahun kemudian Mesir mengatur serangan semula untuk berperang dengan Israel dibantu oleh pemuda-pemuda daripada gerakan Ikhwanul Muslimin.
“Berlakulah serangan kali kedua, perang yang dinamakan sittah Oktober yang berlaku di dalam bulan Ramadan pada tahun 1973.
“Sebuah benteng yang mereka (Israel) bina daripada pasir yang mana dikatakan benteng ini tidak akan runtuh sama sekali, tetapi dengan izin Allah SWT tentera Mesir menggunakan senjata daripada air, senjata meriam di mana pelurunya dibuat, dibina dengan kekuatan air.
“Benteng itu runtuh pada 6 Oktober dan pada waktu itulah tentera Israel mula terkejut dengan serangan Mesir. Ini sejarahnya sebab itu tarikh hari ini merupakan tarikh yang bersejarah 6 Oktober 1973 Israel pernah kalah dan kita yakin suatu hari nanti juga mereka akan dikalahkan dengan bantuan Allah SWT,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Marang, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri.
0 Comments