oleh ARUS LEBIR
PENGGUNA Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) tentunya hairan di lokasi berhampiran hujung lebuh raya itu di Gemuruh, Terengganu ada jalan tidak siap.
Jalan tersebut sudah ditar dan sekarang semakin pudar kerana ia tidak digunakan. Jalannya agak panjang. Tentunya ramai pelik. Mengapa jalan tersebut dibiarkan begitu dalam tempoh begitu lama.
Ramai berteka-teki mengapa jalan tersebut terhenti di Gemuruh. Sedangkan perancangan awal LPT dibina sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Berapa banyak wang rakyat dibazirkan kerana sebahagian struktur lebuh raya sudah lama siap. Inilah wajah politik pembangunan di Malaysia.
Sama juga dengan LPT fasa pertama hanya dibina dari Karak ke Kuantan. Mengapa. LPT itu tidak diteruskan ke Terengganu kerana kerajaan negeri ditadbir PAS.
PAS menguasai Terengganu selepas mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999. Pembinaan LPT tidak diteruskan ke Terengganu kerana faktor politik.
Pembinaan LPT Fasa 1 dari Karak ke Kuantan dibuka kepada pengguna pada 1 Ogos 2004. Pembinaannya melibatkan kos sebanyak RM1.3 bilion.
Rakyat menjadi mangsa deraan politik. Apakah ia menggambarkan politik tidak matang yang dibiarkan melingkari Tanah Malaya sehingga sekarang.
Parti mana mentadbir negara ketika itu. Tidak lain lagi ketuanya Umno.
Berulang
Malangnya sketsa seumpama itu berulang semula sekarang. Sedangkan Umno sudah hilang kuasa di Putrajaya pada PRU 2018. Terengganu yang kini ditadbir PAS berdepan dengan sekatan bayaran royalti petroleum.
Isu sama pernah berlaku ketika Terengganu ditadbir PAS pada era 1999-2004. Sekatan itu membawa kes sehingga ke mahkamah. Sama juga dengan apa yang pernah berlaku di Kelantan.
Hanya selepas Terengganu berjaya dirampas semula BN pada PRU 2004, barulah pembinaan fasa kedua LPT diteruskan. Ia bermula pada tahun 2006 yakni dua tahun selepas Umno kembali menguasai Terengganu.
LPT fasa 2 dibuka secara berperingkat. Laluan Ajil-Bukit Besi dibuka kepada pengguna pada 22 Ogos 2011. Ajil-Telemung dibuka pada 18 Mei 2012.
Dan Bukit Besi-Paka (25 Januari 2014), Jabor-Cheneh (22 Julai 2014) dan Jabor-Kuala Terengganu (31 Januari 2015).
Malah pada 2014, kerajaan pada kenyataan memaklumkan pembinaan LPT3 akan bermula dari Kampung Gemuroh, Kuala Nerus ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Fasa 3 akan meliputi jarak 124 kilometer. Pembinaannya dirancang dua laluan, iaitu jalan pantai dan melalui Gua Musang di hulu Kelantan.
Projek itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11). Projek terbabit dilapor dilulus kerajaan pusat pada 6 Mac 2019. Sekarang lima tahun berlalu, namun berita mengenainya belum kedengaran.
Sedangkan pada 6 September 2022 media melaporkan kajian pembinaan LPT3 selesai dijalankan. Dan ia telah dikemuka kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.
Kajian awal
Kementerian Kerja Raya pula dilapor menunggu tindakan selanjutnya daripada agensi berkenaan dan EPU. Kerja-kerja awalan pembinaan LPT3 melibatkan kos RM35 juta.
Cadangan pembinaan LPT3 melibatkan jarak 150 kilometer bermula dari Gemuruh ke Pengkalan Kubor.
Dan pada 23 Februari 2023 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor berkata, cadangan projek LPT3 akan dilaksana secara penswastaan menerusi kaedah permintaan cadangan (RFP) secara tender terbuka.
Bagaimanapun selepas dua tahun cadangan itu diketengahkan ia belum lagi kelihatan menjadi kenyataan. Kembali menjadi sepi.
Ekoran itu pada sambutan Hari Keputeraan baru-baru ini Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berharap pembinaan LPT3 diberi perhatian serius kerajaan.
Apakah selepas istana bersuara projek itu akan diberi nafas semula. Tekanan politik seperti yang berlaku pada 1990 di Kelantan dan Terengganu (1999) mungkin berulang semula.
Mungkinkah ia menjalar sehingga ke Kedah dan Perlis. Kita tunggu dan lihat kerana peradaban madani mungkin berbeza.
Setidak-tidaknya lima cukai baru yang dijangka diperkenalkan kerajaan Madani pada 2025 boleh menampung projek LPT3.
0 Comments