Ticker

6/recent/ticker-posts

22 PELAJAR CEMERLANG KELANTAN TERIMA SUMBANGAN TABUNG PENDIDIKAN YTK

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA BHARU, 28 Oktober - Seramai 22 pelajar cemerlang dari Kelantan yang sedang melanjutkan pengajian pasca siswazah peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) menerima sumbangan dari Tabung Pendidikan Tinggi Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) dengan kerjasama Bank Rakyat yang berjumlah antara RM3,000 hingga RM5,000.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Dato' Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, tabung tersebut berperanan sebagai platform penting dalam membantu pelajar-pelajar Kelantan menghadapi cabaran kewangan dalam menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Tabung ini adalah satu wadah yang membawa manfaat berpanjangan, bukan hanya untuk pelajar-pelajar yang dibantu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif yang signifikan ini dalam usaha untuk kita melahirkan generasi yang Rabbani akal dan jiwanya, malah mempunyai wawasan dan keterampilan dalam mewarisi kepimpinan masa depan negeri ini.

"Di samping itu, pelaburan dalam aspek pendidikan sebegini juga merupakan satu tanggungjawab sosial yang mulia dalam membangunkan masyarakat," katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Pendidikan Tinggi YTK dan Penyampaian Sumbangan "one-off" di Dewan Sri Makmur 2, di sebuah hotel, hari ini.

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, Ahli-ahli Dewan Negeri Kelantan, Ketua Wilayah Bank Rakyat Kelantan-Terengganu, Ghazi Omar serta ketua-ketua jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Sementara itu, Pengarah YTK Zulqarnain Hassan berkata, pihaknya memberikan bantuan itu secara biasiswa kepada calon-calon yang layak mengikut kesesuaian bidang yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

"Setiap calon yang nak kita terima, kita akan temu duga terlebih dahulu.

"Jumlah bantuan ini pula akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tabung Pendidikan Tinggi YTK mengikut kesesuaian pemohon," katanya.

Untuk rekod, Tabung Pendidikan Tinggi YTK ditubuhkan di bawah peruntukan Enakmen 14, Enakmen Yayasan Tok Kenali Negeri Kelantan 2015 dengan matlamat mengumpul dana untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi tinggi dalam bidang khusus.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui sumbangan daripada jabatan kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan serta anak syarikat kerajaan negeri untuk meringankan beban kewangan pelajar-pelajar Kelantan yang berpotensi dalam mencapai kejayaan akademik di peringkat tertinggi.

Post a Comment

0 Comments