Ticker

6/recent/ticker-posts

PESERTA SEMINAR PEMANTAPAN AKIDAH DIDEDAH TENTANG BAHAYA "SCAMMER"

Kredit gambar FB Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 28 Oktober- Seramai 800 peserta yang menyertai seminar Pemantapan Akidah dan Muamalat kepada pemegang tauliah mengajar Agama Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah didedahkan tentang bahaya penipu (scammer) dalam urus niaga ketika ini.

Yang Dipertua MAIK, YBM Tengku Tan Sri Dato' Mohamad Rizam Abdul Aziz berkata, pendedahan kepada peserta berkaitan isu penipuan dalam urusan perniagaan amat penting kerana ia akan mendedahkan kepada peserta tentang bahaya penipuan transaksi dalam talian yang sering berlaku.

"Kita telah mendengar sudah banyak kes yang melibatkan penipuan membabitkan urus niaga dalam talian yang dilaporkan kepada pihak polis dan telah menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit yang dialami oleh mangsa.

"Ini semua berlaku kerana tiada pendedahan dan aspek kesedaran untuk mengenal pasti ciri-ciri penipuan urus niaga dalam talian sehingga menjerumuskan mangsa kepada malapetaka yang lebih besar seperti masalah emosi, stres, kemurungan dan sebagainya.

"Semoga dengan pendedahan dalam seminar ini akan dapat memberi manfaat yang besar kepada peserta dan masyarakat".

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemantapan Akidah dan Muamalat kepada pemegang tauliah mengajar Agama MAIK 2024, anjuran MAIK dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kelantan, di sebuah hotel di Kota Bharu pada Ahad.

Dalam seminar tersebut, kertas kerja yang bertajuk Scammer Dalam Muamalat telah dibentangkan oleh Pengerusi Lembaga Syariah Agro Bank dan AEON Digital Bank yang juga Ahli Jawatankuasa Wakaf MAIK, Wan Rumaizi Wan Hussin.


Menyentuh tentang seminar pemantapan akidah pula, beliau menjelaskan bahawa seminar tersebut penting bagi mengukuhkan pemikiran dan mempertajamkan kefahaman para pemegang tauliah mengajar.

Mereka perlu menjelaskan tentang pegangan asas akidah yang sebenar kepada masyarakat di Kelantan, yang mesti bersandarkan kepada Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Beliau juga menuntut para agamawan dan asatizah yang memegang tauliah mengajar Agama untuk memainkan peranan dengan mengambil pendekatan menjernih dan mengharmonikan keadaan, menerangkan segala kekeliruan dan permasalahan agama yang berlaku  dalam masyarakat. 

"Fenomena kemunculan pelbagai fahaman dalam agama, aliran pemikiran, modenisasi, liberal yang bersumberkan pengaruh barat, penyebaran fahaman yang jauh menyimpang dari akidah umat Islam semakin menjadi-jadi. 


“Ditambah pula, perkembangan semasa dalam teknologi akan  memudahkan masyarakat mengekses segala maklumat dengan pantas tanpa sempadan dan tapisan melalui hantaran dalam media sosial secara berleluasa serta menyebarkan persepsi buruk melibatkan akidah umat Islam jika tidak dibendung.

"Oleh itu, agamawan dan para asatizah sebagai pemegang tauliah mengajar Agama MAIK dituntut memainkan peranan untuk membendung permasalahan tersebut.", katanya.

Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Sahibus Samahah YB Dato' Kaya Perba Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Dato' Ibrahim Deris, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Nik Abdul Kadir Nik Muhamad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Dr Hasnan Ramli.

Post a Comment

0 Comments