Persembahan teaterikal semai ukhwah sejagat dalam jiwa kanak-kanak


Oleh: Norzana Razaly

PASIR MAS, 7 Disember – Pendedahan awal mengenai nilai kasih sayang sesama Muslim di seluruh dunia perlu diterapkan kepada anak-anak pra-sekolah bagi membentuk semangat ukhwah Islamiah sejak kecil.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud berkata pendekatan teaterikal berasaskan sejarah mampu menjadi pedagogi berkesan untuk menyemai kecintaan terhadap tanah air, di samping memberi kefahaman mengenai nasib saudara seagama di Palestin yang berdepan kezaliman.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan guru PASTI Sumaiyyah Slow Machang yang tekun melatih murid-murid dalam menjayakan mini teater Solidariti Palestin dan persembahan nasyid bertemakan perjuangan rakyat kecil yang menjadi mangsa perang.

Ahli Dewan Negeri Pengkalan Pasir, YB Mohamad Nasriff Daud

“Pendedahan melalui lakonan dan nasyid mampu menyedarkan anak-anak ini tentang kepentingan mengasihi tanah air sendiri. Mereka juga diajar bersyukur kerana berada dalam negeri yang aman dan mereka boleh ke sekolah tanpa sebarang sekatan,” katanya.

YB Nasriff berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Peringkat DUN Pengkalan Pasir yang diadakan di Dewan Madrasah Nasrullah, Pohon Buloh pada Sabtu.

Menurutnya yang turut menyertai persembahan akhir kanak-kanak itu pada sesi nasyid Atuna Thufuli, latihan melalui interaksi sosial seperti simulasi jual beli yang dijalankan sepanjang majlis turut membantu mengukuhkan kemahiran komunikasi dan interpersonal kanak-kanak.

“Program seperti ini mampu mengangkat nilai kreativiti dan pembelajaran holistik dalam pendidikan awal kanak-kanak dan mengukuhkan mesej solidariti serta kesyukuran terhadap nikmat keamanan yang dinikmati di negeri ini.

"Mesej yang disampaikan oleh anak-anak itu sangat menyentuh perasaan ibu bapa yang menontonnya. Rata-rata saya lihat mereka mengesat air mata, tanda penonton dapat menyelami perjuangan saudara kita di sana.



“Sepanjang majlis berlangsung, saya juga mendapati anak-anak mantan pelajar PASTI turut diundang dan dilatih berinteraksi dengan hadirin melalui sesi jual beli barang-barang makanan. Latihan ini sangat bagus untuk meningkatkan kebolehan interpersonal dan komunikasi sosial kanak-kanak. Mereka juga dapat menjadi contoh yang baik kepada adik-adik yang bakal bersekolah rendah pada tahun depan,” jelasnya.

Majlis tersebut turut mengiktiraf murid cemerlang melalui penganugerahan Tokoh Mumtaz PASTI Sumaiyyah Slow Machang yang disampaikan oleh YB Nasriff yang juga Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Penerima anugerah bagi kategori 6 tahun ialah Nur Amalina Natasya Ab. Rahman, manakala kategori 5 tahun diberikan kepada Nur Fatimah Hanani Muhammad Izzat dan Nur Aaliya Maryam Khairulazuan.



Tokoh Mumtaz PASTI Sumayyah




Post a Comment

0 Comments