Ticker

6/recent/ticker-posts

BANCI PERTANIAN 2024: 82,867 PREMIS PERTANIAN DI KELANTAN SELESAI DIBANCI

Oleh: Norzana Razaly

PASIR PUTEH, 3 Oktober 2024 – Sehingga 1 Oktober 2024, sebanyak 82,867 (94.6 peratus) tempat kediaman telah selesai dilawati oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi melaksanakan Banci Pertanian 2024.

Menurut kenyataan media Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, proses yang bermula pada 7 Julai 2024 itu telahpun memasuki hari ke 89 dan masih berbaki seminggu lagi bagi menyelesaikan sebanyak 87,621 tempat kediaman dan 420 pertubuhan perniagaan yang akan dibanci di Kelantan pada kali ini.

Manakala bagi pertubuhan perniagaan pula, sebanyak 280 (66.7 peratus) turut selesai dilawati.

Kenyataan itu turut menyebut pelaksanaan banci bertujuan mengumpul stok dan profail penduduk yang melakukan aktiviti pertanian yang meliputi ciri-ciri demografi dan sosioekonomi sehingga peringkat geografi terkecil bagi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan perhutanan serta pembalakan.

“Maklumat Banci ini juga penting bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara yang akan menjadi asas kepada unjuran dan anggaran sektor pertanian negara, di samping turut menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan indikator sektor pertanian dalam menjamin bekalan makanan serta sosioekonomi.

“Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang melaksanakan Banci Pertanian, bahkan negara lain seperti Thailand dan Indonesia turut melaksanakan banci ini pada tahun 2023, manakala Korea Selatan, China dan Australia pula pada tahun 2021,” catatnya.

Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin  Tuan Ismail memaklumkan bagi jajahan Pasir Puteh, sejumlah 5,630 (97.5 peratus) dari 5,775 tempat kediaman telah selesai dilawati, manakala 15 pertubuhan (60.0 peratus) dari 25 pertubuhan juga turut selesai dilawati.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke perusahaan betik callina di Selising dan kerapu hybrid di Cherang Ruku, hari ini.

Sesi Turun Padang exco itu diiringi Ahli Dewan Negeri (AND) Semerak YB Norsham Sulaiman bersama Timbalan Pesuruhjaya Banci Pertanian Negeri Kelantan  Abang Saifulhadi Abang Ibrahim untuk meninjau penanaman betik callina  dan penternakan ikan kerapu hibrid yang unik dan hanya terdapat di Pasir Puteh dan tidak terdapat di jajahan lain di Kelantan.

Mengulas lanjut, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin menjelaskan kepentingan pengumpulan data dan maklumat memudahkan statistik pertanian di Kelantan direkod dan dikemas kini.

“Kelantan mencatatkan peningkatan nilai KDNK 2.6 peratus (2022: 4.5 peratus) dengan nilai RM27.6 bilion pada tahun 2023, berbanding RM26.9 bilion pada tahun 2022.

“Sektor Pertanian yang mencatatkan nilai ditambah RM5.6 bilion merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Negeri Kelantan selepas Sektor Perkhidmatan. Walau bagaimanapun, sektor ini menguncup 0.5 peratus disebabkan berlakunya kemerosotan dalam subsektor perhutanan dan pembalakan,” katanya.

Katanya lagi, menurut sumber daripada Jabatan Pertanian, aktiviti perikanan merupakan penyumbang terbesar bagi jajahan Pasir Puteh dengan nilai pengeluaran RM207.04 juta pada tahun 2022.

“Aktiviti tanaman pula merupakan penyumbang kedua dengan keluasan bertanam 23,093 hektar (54.5 peratus dari jumlah keluasan Pasir Puteh) dan nilai pengeluaran RM187.95 juta. 

“Padi dan cili merah merupakan penyumbang terbesar kepada aktiviti tanaman di jajahan Pasir Puteh dan Negeri Kelantan dengan nilai pengeluaran masing-masing sebanyak  RM74.38 juta  dan RM22.11 juta pada tahun 2022. 

“Manakala durian dan tembikai turut memberikan sumbangan yang signifikan dengan nilai pengeluaran masing-masing RM49.50 juta dan RM18.32 juta,” ujarnya terperinci.

Oleh itu beliau berterima kasih kepada para petani dan penternak di Kelantan yang sudah pun memberi kerjasama sebaiknya kepada pihak DOSM.

Beliau juga berharap baki pemain industri yang belum dibanci turut berkolaboratif sepenuhnya kerana menurutnya, kejayaan Banci Pertanian 2024 memerlukan kerjasama dan komitmen penuh semua pihak terutamanya pengusaha dan agensi tempatan bagi memastikan tiada pengusaha yang tertinggal dalam liputan banci pada tahun ini. 

“Maklumat yang tepat dan lengkap haruslah diberikan kepada petugas banci agar statistik pertanian secara ‘real-time’ dan komprehensif dapat dikeluarkan dan memberikan manfaat bukan sahaja kepada negara, bahkan juga kepada penyelidik, pelajar, orang awam dan sebagainya,” jelasnya.

Pihak DOSM pula meminta orang ramai melayari laman web https://www.myagricensus.gov.my bagi memperoleh sebarang maklumat lanjut berkaitan Banci Pertanian 2024. 

Segala maklumat yang telah dikongsikan adalah terjamin kerahsiaannya dan tertakluk kepada Akta Banci 1960.

Post a Comment

0 Comments