Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 30 Oktober 2025 – Kelantan terus melangkah maju dalam agenda kelestarian apabila diiktiraf sebagai Negeri Mampan Tahun 2025 dengan pencapaian keseluruhan 94.36 peratus, sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS), Kongres Bandar Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 yang diadakan di Dewan Sri Kiantan, Putrajaya pada Selasa.
Kelantan merekodkan prestasi membanggakan apabila hampir semua PBT mencatatkan markah melebihi 90 peratus. Antara yang menunjukkan pencapaian tertinggi ialah Majlis Daerah Bachok dengan skor 96.96 peratus, diikuti Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebanyak 96.85 peratus.
Sementara itu, Majlis Daerah Machang memperoleh 96.61 peratus manakala Majlis Daerah Gua Musang merekodkan 95.24 peratus dan Majlis Daerah Pasir Puteh pula mencatat 95.19 peratus.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan negeri ini bergerak seiring dengan agenda pembangunan mampan di peringkat nasional.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak berkuasa tempatan yang sentiasa berinovasi dalam pengurusan bandar, kebersihan, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat " katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pengiktirafan itu selaras dengan prinsip Membangun Bersama Islam serta menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030).
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas kejayaan tersebut.
"Sekalung penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan atas usaha gigih, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan inisiatif pembangunan mampan.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh agenda kelestarian dan kesejahteraan rakyat di negeri Kelantan,” ujarnya.

 
 
 
 
0 Comments