Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 22 Oktober – Batik Air melancarkan penerbangan sulung bagi laluan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAA), sekali gus memberi pilihan penerbangan lebih mudah dan selesa untuk penumpang.
Sehubungan itu, Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Zameri Mat Nawan berkata laluan baharu ini memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perjalanan udara yang lebih mudah dan selesa kepada penumpang.
Katanya, perkhidmatan itu menyediakan alternatif yang lebih mudah dan selesa berbanding penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Jika ada pilihan, saya sendiri pun secara peribadi lebih suka naik dan turun di Subang berbanding KLIA kerana dengan perkhidmatan ini, penumpang boleh berlepas atau mendarat dari LTSIP ke Subang SkyPark yang lebih dekat dengan pusat bandar Kuala Lumpur.
“Keselesaan pesawat Boeing 737 milik Batik Air ini juga menawarkan penerbangan harian, memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada penumpang,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan penerbangan pertama Batik Air ke Kota Bharu di Pintu 7 Balai Berlepas, LTSIP pada Isnin.
Foto ehsan TICMajlis perasmian penerbangan sulung dari Kota Bharu itu dimeriahkan dengan acara sambutan mesra kepada 76 penumpang yang tiba dengan pesawat OD 2305 pada pukul 7.00 malam.
Mereka dihadiahkan cenderahati istimewa daripada Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC). Acara terebut menyerlahkan kerjasama untuk mempromosikan pelancongan domestik dan kepentingan laluan ini dalam menghubungkan wilayah timur laut dengan Lembah Klang.
Terdahulu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor mengambil peluang beramah mesra bersama penumpang kapal terbang Batik Air yang memulakan perjalanan dari Kota Bharu ke Subang, pada hari yang sama dengan jadual penerbangan pukul 4.15 petang.
Setiba di LTSAA, beliau bersama penumpang lain disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dalam acara yang mempamerkan keunikan hospitaliti di Selangor.
Untuk rekod, penerbangan tersebut adalah yang kedua dari Subang SkyPark ke Kota Bharu selepas kejayaan pelancaran laluan ke Pulau Pinang pada 2 Oktober lalu. Sekali gus bukti peningkatan ketara kepada rangkaian syarikat penerbangan Batik Air yang beralih daripada turboprop kepada jet.
0 Comments