Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN TUBUH TABUNG PENDIDIKAN TINGGI

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 22 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Yayasan Tabung Amanah Tok Kenali (YTK) menubuhkan satu tabung pendidikan yang dikenali sebagai tabung Pendidikan Tinggi Tok Kenali.

Pengarah YTK, Zulqarnain Hassan dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial YTK hari ini menjelaskan, penubuhan tabung tersebut bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian pasca siswazah. 

"Tabung ini diwujudkan bagi mempastikan setiap pelajar yang memerlukan bantuan pendidikan dapat meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) tanpa ada sebarang halangan kewangan. 

"Sumbangan yang dikumpulkan melalui tabung ini akan disalurkan kepada para pelajar dalam bentuk biasiswa, pembelian alat tulis dan sokongan lain yang berkaitan dengan pendidikan," katanya.

 

Beliau menyeru orang ramai untuk memberi sokongan kepada usaha murni ini dengan menghulurkan sumbangan dan menghadirkan diri di majlis pelancaran tabung tersebut.

"Kami di pihak penganjur berharap majlis pelancaran tabung ini mendapat sambutan daripada masyarakat. Ini kerana dengan sumbangan yang dihulurkan akan dapat mengubah masa depan anak-anak pelajar yang memerlukan sumbangan.

"Sumbangan boleh dibuat secara langsung pada hari pelancaran atau melalui platform dalam talian yang akan diumumkan dalam majlis pelancaran nanti," ujarnya lagi.

Majlis pelancaran tabung tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato ' Mohd Nassuruddin Daud yang juga Pengerusi Lembaga YTK pada 28 Oktober nanti.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada tabung ini samada secara individu, syarikat korporat atau kerjasama NGO. Sebarang maklumat boleh berhubung dengan Wan Mohd Abu Hasan Wan Ibrahim di talian 013-9797955.

Post a Comment

0 Comments