KOTA KINABALU: Penduduk di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar bergotong royong mengumpul sampah untuk dilupus di tanah besar.
Penduduk di penempatan tersebut termasuk kanak-kanak memunggah sampah yang diisi dalam plastik hitam dan dilonggok di jeti sebelum diangkut menggunakan bot ke tapak pelupusan.
Malah ada penduduk mendayung perahu penuh muatan sampah ke tempat ke jeti tempat pengumpulan.
Mereka menyertai Program Kota Kinabalu (KK) Cleanup Day 4.0. Pada hari kedua berjaya mengumpul sampah sebanyak 35 tan.
Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK) pada kenyataan berkata, program itu berlangsung selama tiga hari, di mana dua hari program berlangsung berjaya mengumpul 101 tan sampah.
Katanya pencapaian tersebut memenuhi sasaran awal 100 tan dan ia dijangka akan meningkat pada hari terakhir program esok.
“DBKK merakam ucapan tahniah kepada penduduk kampung yang terlibat iaitu Kampung Lok Urai, Kasuapan, Pulau Gaya Asli, Lobong dan Torong Logong di Pulau Gaya.
“Selain itu Kampung Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.
Menurut DBKK sebanyak 11 unit jentera berat digerakkan bagi mengangkut sampah ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal, Kayu Madang.
Manakala pengangkutan sampah dari pulau pula melibatkan 10 bot.
Pada 20 September setiap tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan sebagai Hari Pembersihan Sedunia.
Program global itu sebagai usaha dedikasi bagi menangani isu pencemaran sisa yang semakin bertambah dan meningkatkan kesedaran terhadap pembersihan awam.
Di Kelantan program Hari Cuci Malaysia 2024 diadakan pada Sabtu lepas.
Program tersebut diadakan serentak semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.
Majlis Daerah Tumpat (MDT) mengadakan program gotong royong di Taman Kota SPP Warisan.
0 Comments