Ticker

6/recent/ticker-posts

PERTANDINGAN SILAT JATUH TUNGGAL LESTARIKAN WARISAN PUSAKA BANGSA

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 5 Oktober – Pertandingan Seni Silat Jatuh Tunggal anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Tari Jatuh Kelantan (SETANJAK) berjaya melestarikan warisan seni silat pusaka bangsa.

Pertandingan yang bertujuan melestarikan warisan seni bela diri tradisional itu berlangsung meriah di Gelanggang Seni semalam dengan menampikan penyertaan pelbagai regu.

Bagi pertarungan Regu 1, Mohd Iswadi Daud (Jebat Air Lanas) berjaya menundukkan Salahudin Sulong (Jebat Maut Gunung) dengan memperlihatkan kepakaran tendangan dan pukulan hebat.

Bagi Regu 2 pula Muqri Uzair Ahmad Shafie (Pelanduk Putih Chalok) muncul juara selepas menumpaskan Mohd Saiful Hakimi Rosli (Seladang Mas Tok Sadang) dalam pertarungan sengit dan menguji kekuatan mental serta fizikal.

Manakala Regu 3 memperlihatkan ketangkasan Mohd Zakuan Rosli (Wea Anak Seni Pasir Kota) menewaskan Qaib Aibaq Ahmad Shafie (Anak Kijang Mas Setiu).

Kemenangan itu sekali gus menobatkan Mohd Zakuan sebagai pemenang Persembahan Terbaik.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor hadir merasmikan pertandingan tersebut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan peserta.

Beliau juga mengiktiraf usaha SETANJAK dalam memelihara dan memperkasa warisan seni Silat Jatuh di Kelantan.

Katanya, Kerajaan Negeri Kelantan berbangga dengan usaha gigih para penggiat seni mempertahankan warisan budaya Melayu yang kaya sejarah dan falsafah itu.

"Silat Jatuh bukan sahaja mencerminkan kekuatan fizikal dan mental, malah melambangkan ketulenan nilai murni dalam kehidupan masyarakat Melayu.

"Seni ini mengajar keberanian, kesopanan, dan disiplin yang amat dihargai dalam budaya tradisional," katanya.

Beliau turut memuji usaha SETANJAK yang memainkan peranan penting dalam memastikan seni ini terus diwarisi generasi ke generasi.

Di samping itu, komitmen semua pihak terlibat dalam menjaga warisan budaya juga diharap agar terus subur di hati masyarakat.

"Dengan kerjasama erat bersama SETANJAK, kita akan terus mengangkat martabat seni ini ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat nasional dan antarabangsa," ujarnya.




Post a Comment

0 Comments