BANGKOK: Rombongan Arkib dan Assabiqun PAS Kelantan hari ini berpeluang mengikuti kenduri kahwin komuniti Islam yang tinggal di pinggir Bangkok.
Keluarga pengantin perempuan mengadakan kenduri di dewan terbuka Masjid Nurul Islam, Bung Khuhai, Lau Lut Ka, Phatum Thani yang dihadiri ahli keluarga, rombongan pengantin lelaki dan penduduk kampung.
Majlis itu bermula jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah hari, di mana ahli-ahli keluarga dan penduduk kampung datang bertali arus meraikan majlis perkahwinan tersebut.
Mereka datang bersama anak dan isteri disambut keluarga pengantin perempuan. Petugas sibuk menghantar nasi dan lauk ke meja yang diduduki tetamu.
Majlis tersebut juga meriah dengan celoteh juruacara yang bercakap tanpa henti sambil mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke majlis kenduri terbabit.
Kelainan yang dapat dilihat apabila nasi yang dihantar ke setiap meja tetamu dimasuk ke dalam plastik khas dan setiap tetamu akan memasukkan nasi ke dalam pinggan yang disediakan.
Nasi yang dibungkus dalam plastik masih lagi panas dan bakinya yang belum terusik boleh digunakan tetamu lain pula.
Imam masjid terbabit Ustaz Abdullah Abdul Wahab berkata, kebiasaan penduduk kampung mengadakan kenduri pada pagi Jumaat di dewan terbuka masjid.
“Tempat kenduri disediakan secara percuma. Dan keluarga pengantin perempuan bergotong royong menyediakan juadah termasuk lauk, kuih dan minuman.
“Budaya gotong royong masih lagi dipertahankan masyarakat Islam di Pathum Thani. Penduduk tidak menggunakan khidmat catering kerana mereka lebih gemar bergotong royong menyediakan makanan,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Hadir sama Pengerusi Assabiqun PAS Kelantan, Wan Yusof Wan Mustapha; Pengarah Kelab Usahawan Haraki Shamsuddin Mat Daud serta Setiausaha Aset dan Hartanah PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusof.
Dewan terbuka Masjid Nurul Islam sering menjadi tempat penduduk tempatan mengadakan kenduri dan sambutan hari-hari kebesaran dalam Islam.
Bagaimanapun ada juga penduduk mengadakan kenduri di rumah mereka pada hari Sabtu atau Ahad. Namun, rata-rata penduduk menjadikan dewan terbuka tersebut sebagai tempat kenduri kerana ia lebih menjimatkan.
Kehadiran ahli-ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk kampung begitu meriah, malah ada yang mengambil peluang bertanya khabar.
Majlis tambah meriah dengan kehadiran rombongan pengantin lelaki. Selepas itu majlis angkat nikah diadakan di masjid dengan disertai keluarga pengantin kedua-dua belah pihak.
Majlis
perkahwinan terbabit juga agak istimewa kerana tanpa kehadiran pengantin
perempuan yang berada di luar negara kerana sedang melanjutkan pelajaran.
Namun, pengantin perempuan dapat menyaksikan majlis angkat nikah dan kenduri melalui video secara langsung. Malah, pengantin perempuan turut kelihatan berpakaian lengkap pengantin.
Majlis angkat nikah bermula dengan bacaan al Quran oleh qari jemputan, kemudian diikuti khutbah nikah disampaikan Imam Masjid Nurul Islam. Beberapa orang lagi diberi peluang bercakap sebelum majlis angkat nikah berlangsung.
Ustaz Abdullah juga berkata, kehadiran orang ramai semakin kurang menjelang jam 12 tengahari memandangkan golongan lelaki membuat persiapan untuk menunaikan solat Jumaat.
0 Comments