Ticker

6/recent/ticker-posts

HOSPITAL BACHOK LENGKAPKAN ‘SETIAP DAERAH 1 HOSPITAL’ – EXCO KESIHATAN

Kredit foto: Media YB Hilmi

 Oleh: Norzana Razaly

 KOTA DARULNAIM, 13 Oktober – Dalam tempoh sedekad sejak 2014, sebanyak 42 Hospital Kluster yang menggabungkan dua atau lebih hospital berpakar dan hospital tanpa pakar di lokasi geografi berdekatan sudah dibina oleh  Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah memaklumkan pembinaan Hospital Bachok di Jelawat melengkapkan siri pembinaan Hospital Kluster Kelantan Utara.

Menurutnya, Hospital Kluster Kelantan Utara menggabungkan tiga hospital daerah dan satu hospital induk. 

"Maka, dengan siapnya Hospital Bachok, maka lengkaplah Setiap Daerah, 1 Hospital di negeri Kelantan. 

“Mengikut perancangan KKM, Hospital Bachok ini akan dijadikan sebagai pusat rujukan kanser payu dara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Hospital Kluster Kelantan Utara merupakan gabungan tiga hospital daerah dan satu hospital induk/negeri, merangkumi HRPZII sebagai Hospital Negeri yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah Kota Bharu. 

Manakala tiga lagi Hospital Daerah (Non Lead Hospital) akan dijadikan pusat rujukan dan kecemerlangan (centre of excellence) iaitu Hospital Tumpat (penyakit berjangkit), Hospital Pasir Mas (dialisis atau nefrologi), dan Hospital Tengku Anis Pasir Puteh (fisioterapi dan rehabilitasi). 

“Hospital Kluster Kelantan Utara menyediakan perkhidmatan kepada hampir 1.2 juta pesakit yang terdiri daripada purata 70 peratus penduduk tempatan di Kelantan. 

"Kedudukan ketiga-tiga hospital daerah ini yang berdekatan dengan Hospital Negeri memudahkan pergerakan pakar-pakar dan peralatan perkhidmatan di antara hospital sekali gus menyediakan kepakaran kepada hospital-hospital daerah,” hurainya.

"Bagi Hospital Kluster Kelantan Barat yang menggabungkan Hospital Tanah Merah sebagai induk dengan Hospital Jeli sebagai pusat kecemerlangan kesihatan mental.

“Tahun lepas, saya juga telah menyaksikan majlis penyerahan bangunan tambahan Hospital Tanah Merah bernilai RM147 juta oleh KKR kepada KKM yang telah memulakan operasinya pada Julai tahun 2023,” ujarnya.

Tambahya, pihak KKM juga dalam perancangan untuk menjadikan Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai sebagai pusat kecemerlangan neurologi di bawah inisiatif Hospital Kluster Kelantan Selatan.

Rangkaiannya ialah Hospital Machang sebagai pusat rujukan katarak dan Hospital Gua Musang.

Post a Comment

0 Comments