Ticker

6/recent/ticker-posts

SPEAKER DUN KELANTAN TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN KIAS

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA BHARU, 7 Oktober - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' Mohd Amar Abdullah telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) atas sumbangan besar beliau dalam penubuhan kolej tersebut.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud pada Istiadat Konvokesyen KIAS kali ke-24 di Dewan Johor KIAS, Nilam Puri hari ini.

Mohd Amar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau mempunya perasaan berbelah bagi dalam membuat keputusan untuk menerima anugerah tersebut kerana merasakan bukan dirinya sahaja yang berusaha dalam memperkasakan KIAS sehingga mencapai perancangan-perancangan untuk memperolehi taraf Kolej Universiti.

"Saya rasa jasa saya amat kecil dan sumbangan yang diberikan adalah hasil daripada kerjasama semua pihak, bukan usaha saya secara bersendirian.

"Tetapi memandangkan hasrat yang besar daripad KIAS ini, saya akhirnya terima juga anugerah ini. Allah menempatkan saya bersama pasukan hebat dan segala perancangan berjaya dicapai dengan baik.

"Semoga hubungan saya dengan KIAS ini terus kekal dalam lipatan sejarah," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para graduan agar berusaha merealisasikan aspirasi KIAS dengan menjadi pendakwah yang berperanan aktif dalam membimbing dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Untuk rekod, istiadat konvokesyen KIAS ke-24 kali ini menyaksikan seramai 245 graduan diraikan atas kejayaan cemerlang mereka menamatkan pengajian di peringkat diploma.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat merangkap Pengerusi KIAS Darun Naim Sdn Bhd, Penasihat Undang-undang Negeri ,YB Dato' Idham Abdul Ghani, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajuan Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzzaman Mohamad merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola KIAS serta Rektor KIAS, Profesor Dr. Mazlan Ibrahim.



Post a Comment

0 Comments