Ticker

6/recent/ticker-posts

Kerajaan tiada dasar agresif bangun ekonomi Bumiputera


KOTA BHARU: Polisi kerajaan sekarang kelihatan seperti hanya melepas batuk ditangga dan tidak ada dasar dan pelaksanaan yang agresif untuk membangun ekonomi Bumiputera.

Pengerusi Biro Ekonomi PUTRA Dr Mohamad Izwan Zainal berkata, kelompok Bumiputera berhadapan dengan kesan yang besar dengan dasar kesamarataan di bawah slogan Malaysia Negara Berbilang Kaum.

Katanya kaum Bumiputera akan terus hanyut dan tenggelam di bumi sendiri. 

“Menang sorak kampung tergadai akan berterusan kerana pembahagian kek ekonomi negara akan terus melebar kerana tumpuan kesamarataan di peringkat B40.

“Sekiranya tiada sebarang intervensi secara aggresif dalam memangkin pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera, PUTRA yakin dalam tempoh 10 tahun lagi peratusan aset pemilikan hartanah akan turun mendadak.

“Manakala tanah rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus sahaja mengikut laporan oleh pihak-pihak yang berwibawa,” katanya pada kenyataan hari ini.  

Menurutnya juga banyak tanah rizab Melayu tidak diganti walaupun ia perkara wajib mengikut undang-undang negara. 

Oleh itu katanya kerajaan perlu mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan survival Bumiputera pada masa akan datang. 

Kata beliau peristiwa yang berlaku di bumi Palestin dan nasib orang Melayu di Singapura wajar menjadi pengajaran.

Oleh itu beliau berkata, melalui pembentangan Belanjawan 2025 PUTRA mencadangkan kerajaan mengadakan skim galakan khusus kepada golongan Bumiputera memiliki aset hartanah termasuk bernilai tinggi terutama di bandar-bandar besar.

“Ia bertujuan memastikan wujudnya persaingan di samping 'security of assurance' dalam mengelak atau mengekang sebarang dominasi dari segi economy power menunjukkan Bumiputera jauh ketinggalan dalam pemilikan hartanah di menara-menara pencakar langit.

“Sebuah Tabung Dana khas RM100 bilion wajar ditubuh kerajaan bagi tujuan memberi 100 peratus pinjaman khusus bagi pemilikan aset hartanah di kawasan bandar,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments