Ticker

6/recent/ticker-posts

KERJASAMA STRATEGIK BADAN KORPORAT, NGO DISELARAS SECARA OPTIMUM TANGANI BENCANA

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 21 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengalu-alukan penglibatan badan korporat dan NGO dalam memperkukuh pengurusan kebajikan dan bencana.

Sehubungan itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim berkata, hasrat tersebut diuar-uarkan agar kerjasama strategik antara semua pihak dapat diselaraskan secara optimum. 

“Penyelarasan dan pemaksimuman sumber akan membantu memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan dengan lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan Taklimat Penyelarasan Kesiapsiagaan Kebajikan Monsun Timur Laut 2024/2025 di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Taklimat khas bagi penyelarasan kesiapsiagaan kebajikan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 anjuran Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKwa) itu diadakan bertujuan memastikan persiapan menyeluruh dalam menghadapi sebarang bencana yang bakal melanda. 

Beliau juga menyeru semua pihak peka terhadap ramalan MTL yang dijangka berlaku awal iaitu pada minggu keempat Oktober.

Menurutnya lagi, mesyuarat pengurusan kebajikan telah diadakan pada 1 Oktober lalu, manakala latihan kesiapsiagaan sukarelawan dijalankan bersama NGO pada 24 Ogos lagi.

“Sebanyak 459 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenal pasti dengan kapasiti 186,440 mangsa. Bilik Operasi MESRA akan bersiap sedia dan kerajaan negeri menetapkan setiap PPS akan menyediakan makanan secara gotong-royong.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyelaras persiapan dengan 17 buah stor serta 160 Pangkalan Hadapan, selain kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments