Ticker

6/recent/ticker-posts

Kilang makanan ternakan dibina di Tok Bali


MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Sebuah kilang bagi menghasilkan makanan haiwan ternakan akan dibina di Tok Bali, Pasir Puteh bagi keperluan Kerajaan Empat Negeri (SG4).

Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pemilihan Tok Bali kerana jarak lebih dekat dengan pelabuhan sebagai pintu masuk bahan-bahan mentah dari negara berhampiran.

Katanya Kelantan akan mengimport jagung bijirin dari Kemboja dan Vietnam, sekiranya bahan mentah utama tempatan tidak memenuhi permintaan pengilang.

"Difahamkan bahan mentah yang diimport dari Vietnam dan Kemboja boleh sampai dalam tempoh tiga hari di pelabuhan Tok Bali.

“Kilang tersebut akan dibangunkan dengan kerjasama pelabur tidak lama lagi," katanya di sini.

 Beliau juga berkata, setiap negeri SG4 mempunyai peranan masing-masing bagi memperkasakan sektor tersebut.

"Kerjasama SG4 ikut potensi masing-masing. Misalnya Terengganu membina kilang baja dan Kelantan dicadang membangun kilang makanan ternakan bagi menampung keperluan penternak di empat negeri," katanya.

Negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) sebelum ini membentuk kerjasama strategik di bawah SG4 membabitkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Kerjasama tersebut membabitkan lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; serta sumber dan pendapatan baharu.

Post a Comment

0 Comments