Ticker

6/recent/ticker-posts

WETLAND PAYA GELAM PASIR MAS SIAP 60 PERATUS

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 16 Oktober – Status terkini kemajuan pembinaan Wetland Paya Gelam di Lubuk Jong, Pasir Mas sudah mencapai 60 peratus.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah memaklumkan pembinaan wetland Paya Gelam itu selari dengan inisiatif Kelantan untuk mengekalkan kawasan alam semula jadi yang lestari dan menambah baik infrastruktur hijau di kawasan Pasir Mas.

“Taman Wetland ini bakal menyediakan beberapa komponen pembangunan seperti kemudahan beriadah, trek jogging dan ruang yang selesa untuk santai keluarga. Pengunjung juga boleh menikmati suasana segar dan indah melalui tanaman pokok landskap dan trek persiaran.

“Ia juga memainkan peranan penting dalam mengawal banjir dengan menyerap air hujan yang berlebihan dan menapis bahan pencemar dari air, yang seterusnya membantu meningkatkan kualiti air di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menghuraikan pelbagai manfaat dapat dinikmati masyarakat dan ekosistem tempatan akan bertambah baik kerana ia berfungsi sebagai kawasan perlindungan biodiversiti, menyediakan habitat untuk pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan, khususnya burung air.

Dari sudut ekonomi pula, katanya, wetland yang terletak di tepi jalan besar Pasir Mas/Rantau Panjang itu bakal menjadi destinasi tumpuan penduduk Pasir Mas dan sekitarnya, apabila siap kelak.

“Ia berpotensi besar dalam menarik pelancong, terutamanya pencinta alam dan penyelidik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat melalui ekopelancongan.

“Pembinaan ini merangkumi Fasa Awal, Fasa Buloh dan Fasa Tradisi. Melihat kepada kemajuan dan kelancaran pembinaannya, dijangka awal tahun 2025 nanti, nsya Allah siap sepenuhnya dan akan dibuka kepada orang ramai.

"Ia boleh meningkatkan pendapatan komuniti tempatan dengan peluang pekerjaan dan perniagaan seperti inap desa (homestay) dan pemandu pelancong,” ujarnya.

Selain itu, projek tersebut juga menyokong usaha Kelantan dalam menangani isu perubahan iklim melalui peranan wetland dalam menyerap karbon sekali gus membantu mengurangkan kesan pemanasan global.



Post a Comment

0 Comments