![]() |
YB Dato’ Dr. Izani Husin, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung penaiktarafan Jalan Rantau Panjang kepada jalan berkembar empat lorong dalam pembentangan Belanjawan 2026, semalam.
Menurut Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin, projek berkenaan dianggap sebagai inisiatif penting bagi memperkasa infrastruktur sempadan serta melancarkan pergerakan rakyat dan aktiviti ekonomi di kawasan pintu masuk antarabangsa itu.
“Kita bersyukur dan berterima kasih atas komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri. Penaiktarafan jalan ini amat diperlukan memandangkan laluan ke pekan Rantau Panjang sering sesak terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata peningkatan kapasiti jalan bakal meningkatkan keselesaan pengguna dan keselamatan penduduk setempat serta dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan perdagangan rentas sempadan.
Dato' Dr. Izani memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini menunggu perincian projek daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam masa terdekat, meliputi jajaran, jarak pelebaran serta tempoh pelaksanaan.
Selain itu, beliau turut menyambut baik beberapa projek infrastruktur lain yang disenaraikan di bawah Belanjawan 2026, termasuk naik taraf landasan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang.
Di samping peningkatan Jalan Kubang Kerian–Bachok dari Persimpangan Kubang Kerian ke Persimpangan Binjai dan naik taraf Jalan Pasir Mas–Salor di Persimpangan Pasir Hor/Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.
“Semua projek ini diyakini mampu memacu pembangunan ekonomi negeri serta memperkukuh jaringan pengangkutan Kelantan, khususnya di kawasan sempadan yang menjadi pintu masuk utama antara Malaysia dan Thailand,” jelasnya.
0 Comments