Kelantan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan realisasikan Belanjawan 2026

YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama secara erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Belanjawan 2026, dengan harapan agar Kelantan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya menyambut baik pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan tersebut, namun menekankan perlunya perhatian dan peruntukan tambahan dalam beberapa aspek kritikal seperti mitigasi banjir, air bersih, kesihatan, pembangunan luar bandar dan sektor pertanian.

“Kami berharap agar peruntukan tambahan dapat dipertimbangkan untuk memastikan rakyat dan negeri Kelantan dapat menikmati pembangunan setara seperti negeri-negeri lain.

"Kerajaan negeri sangat mengharapkan perkara-perkara positif yang dirancang melibatkan Kelantan dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.

Dato' Dr. Mohamed Fadzli menegaskan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi oleh kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat di Kelantan.

Antaranya projek tebatan banjir di Kelantan, khususnya Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Golok, yang merupakan sebahagian daripada 43 projek di bawah peruntukan RM2.2 bilion.

“Projek RTB Sungai Golok perlu diberi keutamaan, setanding dengan usaha mitigasi banjir oleh kerajaan Thailand. Ini penting bagi melindungi penduduk dan kawasan pertanian yang sering terjejas akibat banjir setiap tahun,” ujarnya.

Menyentuh tentang peruntukan bagi Loji Rawatan Air (LRA) Machang dan RM3 bilion untuk program Air Tidak Berhasil (NRW), beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri menyambut baik peruntukan tersebut, namun memohon agar penyelesaian jangka panjang turut dirancang bagi kawasan yang masih mengalami tekanan air rendah.

“Bekalan air bersih adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan dan memerlukan peruntukan besar untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh,” katanya lagi.

Timbalan Menteri Besar turut berharap agar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Kota Bharu hendaklah segera dilaksanakan.

Begitu juga Central Spine Road (CSR) dari Gua Musang - Kuala Krai - Kota Bharu dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Tiada lagi alasan penangguhan disebabkan kerenah kontraktor. Pakej antara Kuala Lumpur ke Kuala Lipis dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada 2026, dan kita harap laluan ke Kelantan turut siap mengikut jadual,” tegasnya.

Dalam pembangunan Sektor Baharu dan Ekonomi Digital, beliau memohon agar pelaburan dalam sektor semikonduktor, digital dan kecerdasan buatan (AI) yang melebihi RM1 bilion tidak tertumpu hanya di Lembah Klang sahaja. Ia hendaklah disebarluaskan ke kawasan lain termasuk Kelantan.

“Kelantan memerlukan pelan pelengkap seperti pusat latihan teknologi hijau dan AI agar rakyat luar bandar tidak terpinggir daripada arus ekonomi masa depan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments