Ticker

6/recent/ticker-posts

PELUMBA INDONESIA UNGGULI KATEGORI LELAKI, WANITA ELIT KELANTAN MTB 3.0

Oleh: Asri Awang Hamat

MACHANG, 20 Oktober- Dua pelumba Indonesia,  Feri Yodoyono  dari Thrill Factory Racing Bolo 1000 dan Sayu Bela Sukma Dewi dari Asia  Union mengungguli Kelantan Mountain Bike (MTB) 2024 apabila muncul johan dalam kategori lelaki dan wanita elit. 

Feri Yodoyono mengungguli kategori lelaki elit apabila mencatat masa 1:30:23 dengan 3.8 kilometer dan enam pusingan, manakala Sayu Bela Sukma Dewi menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 01:51:49 mengatasi tujuh peserta lain. dengan enam pusingan meliputi jarak 22.8km dengan purata kelajuan 12.2km/j.

Naib johan kategori lelaki elit juga dimenangi pelumba Indonesia, Zaenal Fanani dari Thrill Factory Racing Bolo 1000 manakala tempat ketiga milik pelumba Zulfikri Zulkifli dari Helaz Cycling Team (Malaysia). 

Naib johan kategori wanita elit diraih Nur Deena Safea Norefendi dari Helaz Cycling Team (Malaysia) dan Dela Anjar Wulan dari United Bike Kencana Issi Lumajang Bolo 1000  (Indonesia) selesa di tempat ketiga. 

Johan kategori lelaki menerima wang tunai RM15,000, sebuah basikal MTB dan medal, tempat kedua menerima RM10,000 dan medal manakala tempat ketiga membawa pulang RM5000 dan medal. Semua hadiah bagi kategori lelaki elit adalah kurniaan peribadi Kebawah Duli Yang Mulia Sultan Muhammad V. 

Johan kategori wanita elit menerima wang tunai RM5000 dan medal, tempat kedua menerima  RM3000 dan media manakala tempat ketiga menerima RM2000 dan medal. 

Majlis pengurniaan hadiah bagi kategori lelaki elit disempurnakan Sultan Muhammad V dan hadiah kepada kepada pemenang kategori wanita elit disampaikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad. 

Kejohanan yang berlangsung dari 18 hingga 19 Oktober di Bukit Bakar Forest Eco Park, Machang adalah bersempena Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke 55.

Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan, Majlis Sukan Negeri Kelantan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan  Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan.

Seramai 400 peserta dari lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan India bertanding dalam 11 acara Kelantan MTB Challenge 3.0 2024, XCO UCI Class 2.

Pertandingan itu juga menarik minat 250 peserta profesional dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan India.

Hadir sama dalam majlis pengurniaan hadiah, Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dan timbalannya, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran Muhammad dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato' Kaya Perba Dato' Shukri Mohamad.


Post a Comment

0 Comments