Ticker

6/recent/ticker-posts

RM10,000 HADIAH UTAMA PERTANDINGAN VIDEO TIKTOK MILIK PELAJAR UiTM

Oleh: Che Maziah Binti Mat

TUMPAT, 20 Oktober – Pelajar semester tiga jurusan Fotomedia Kreatif, UiTM Puncak Alam, Ahmad Faris Ahmad Paudzi muncul juara dalam Pertandingan Video TikTok Kelantan Model Perpaduan anjuran Urusetia Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat bersama Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) sempena Karnival Perpaduan Nasional, semalam.

Pemilik hadiah wang tunai RM10 ribu beserta sijil itu, tidak menyangka video dokumentari miliknya bertajuk ‘Berbeza Darah Tapi Satu Bahasa’ yang berkisar tentang masihkah ada perpaduan kaum di negeri Kelantan yang sering menjadi sebutan dari segi dialek dan juga penyatuan menjadi pilihan juri.


Naib johan dimenangi Ahmad Nashruddin Wafri Norhisam melalui video pendek bertajuk ‘Betul ke Kelantan Menjadi Contoh dan Model Perpaduan di Malaysia?’ dan tempat ketiga video oleh Husaini Amali Ismail bertajuk ‘Menyemai Persahabatan, Menuai Perpaduan’. Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM5000 dan RM3000 berserta sijil.

Dua hadiah saguhati menawarkan wang tunai RM1000 dan tiga anugerah khas juri menawarkan wang tunai RM500 turut disampaikan.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat,  YB Zamakhshari Muhamad bertempat di Pusat Rekreasi dan Kebudayaan Wat Machimmaram, Jubakar, Tumpat. Majlis turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Berucap pada majlis itu, Ahli Dewan Negeri Pengkalan Kubor berkata, Karnival Perpaduan Nasional yang diraikan ini bukan sekadar sebuah acara biasa, tetapi ia merupakan platform penting untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. 

“Saya percaya melalui program ini, kita dapat mengeratkan lagi hubungan di antara komuniti, sekaligus menjadikan negeri Kelantan sebagai model perpaduan yang kukuh dan dihormati kerana perpaduan tidak boleh diwujudkan hanya melalui kata-kata, tetapi harus dipupuk melalui tindakan dan kesungguhan untuk bekerjasama.

“Di sinilah peranan setiap daripada kita untuk terus menyuburkan semangat perpaduan, supaya negara kita kekal aman dan makmur, malah menyokong segala usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional,” jelasnya.

Sementara itu, Karnival Perpaduan Nasional pada kali ini menerima kunjungan seramai 400 orang daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dari pelbagai negeri. Mereka dibawa melawat ke tempat-tempat yang menggambarkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di Kelantan seperti Tokong Mek (Mek Tin Hin Kong), Kuil Muthu Mariamman di Tumpat, Wat Phothivihan (tokong tidur) dan Wat Machimmaram (tokong duduk).


Post a Comment

0 Comments