KOTA BHARU: Seramai 300 pimpinan wanita Kerajaan Empat Negeri (SG4) berhimpun di Kelantan hari ini sempena Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita SG4.
Program dikendali Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga, dan Wanita turut disertai empat Exco Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Program berkenaan merupakan platform strategik bagi membincang serta berkongsi pengalaman kepimpinan wanita, selain pemahaman tentang dasar, polisi dan inisiatif yang dilaksanakan.
Selain itu memberi peluang memperkukuhkan kemahiran kepimpinan dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kepimpinan wanita dalam pembangunan masyarakat.
Konvensyen tiga hari itu mengiktiraf kejayaan dan pencapaian kepimpinan wanita SG4.
Perkongsian disampaikan mengenai kepimpinan di negeri masing-masing termasuk Exco Terengganu, Maliaman Kassim, Exco Perlis Wan Badariah Wan Saad dan Exco Dato' Siti Aishah Ghazali. Exco terbabit menyampaikan ucapan melalui atas talian.
Sementara itu Exco Kelantan, Rohani Ibrahim ketika berkongsi pengalaman kerajaan Kelantan berkata, dasar Membangun Bersama Islam (MBI) menjadi panduan bagi melaksanakan mandat rakyat.
Katanya, di bawah portfolio wanita katanya sebanyak tujuh dasar dilaksanakan dalam tempoh 34 tahun di Kelantan termasuk Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.
“Kita tidak mahu, dasar-dasar yang sangat baik sekadar dicatat
di kertas sahaja. Ia telah dilaksanakan dan sekarang kita sudah nampak hasilnya,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Antara dasar berkaitan wanita yang dilaksanakan di Kelantan iaitu Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan, Dasar Berkebajikan & Kesejahteraan Rakyat Kelantan, Dasar Kanak-kanak Fitrah Kelantan.
Selain itu Dasar Warga Emas Mukramun Kelantan, Dasar Anak Yatim Islah Kelantan, Dasar Wanita Solehah Kelantan dan Dasar Orang Kurang Upaya Muqarrabun Kelantan.
0 Comments