Ticker

6/recent/ticker-posts

ECER: PELABURAN TAHUN 2024 MELEBIHI SASARAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 15 Oktober- Jumlah pelaburan di bawah program ECER di Kelantan setakat September 2024 telah  melebihi sasaran yang ditetapkan.

Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, nilai pelaburan dalam sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan di Kelantan adalah sebanyak RM153 juta, melebihi sasaran iaitu RM100 juta.

"Alhamdulillah, sehingga September 2024, nilai pelaburan sebanyak RM153 juta dalam sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan telah direalisasikan di negeri Kelantan. Jumlah ini telah melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu RM100 juta.

"Ini sekali gus akan membuka 879 peluang pekerjaan dan 69 keusahawanan dalam semua sektor tersebut. Pihak kerajaan akan terus bekerja keras dalam usaha untuk memacu pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat Kelantan," katanya menerusi siaran media, pada Isnin.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICC ECER) Negeri Kelantan Bil 2/2024 di Pejabat ICC ECER Putrajaya.

Menurutnya lagi, dalam mesyuarat tersebut, pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membentangkan perancangan tentang pembangunan Wilayah Pantai Timur dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang memfokuskan empat Teras utama iaitu bakul makanan, mencipta destinasi, sektor pembuatan dan industri marin.

"Pihak kami turut diberi taklimat tentang beberapa projek utama seperti Taman perindustrian Tok Bali yang dijangka menarik pelaburan swasta sebanyak RM400 juta menjelang November 2026. Sekali gus memacu pembangunan ekonomi rantau ini. Selain itu, Projek Jambatan Palekbang Tumpat ke Kota Bharu serta Zon Pelancongan Bersepadu Geting (GITZ) Tumpat yang mempunyai potensi menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia turut dibentangkan.

"Kerajaan Negeri Kelantan akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi mempastikan setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di negeri ini berjalan lancar, demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Kelantan," ujarnya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran Muhammad, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YM Dato' Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Nazwan Ismail.



Post a Comment

0 Comments