Ticker

6/recent/ticker-posts

Tidur Hajiji tidak lagi lena

  


ARUS LEBIR 

TIDAK sampai setahun lagi tempoh penggal ke-16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir. Setidak-tidaknya DUN Sabah boleh dibubar pada Julai 2025.

Dalam tempoh lapan bulan dari sekarang tentunya agak suntuk. Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubar. Maka tidak hairanlah sejak awal tahun ini ramai berminat bercakap tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Namun, paling risau Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor. Mengapa. Pada 27 September 2020 Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi PRN-16. 

GRS memenangi 38 kerusi. GRS dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) 14 kerusi dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.

Pesaing terdekat Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi 29 kerusi. Selain itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) satu kerusi.

DUN Sabah mempunyai 73 Adun dan enam Adun dilantik menjadikan keseluruhan 79 Adun di DUN. 

Hajiji ketika itu Pengerusi Bersatu Sabah. Bersatu menang 15 kerusi yang ditandingi pada PRN-16. Turut menunjangi GRS iaitu Parti Bersatu Sabah kuasai tujuh kerusi, STAR (6) dan SAPP (1).


Keluar Bersatu

Hasil gandingan itu GRS mempunyai 29 ADUN. Bagaimanapun malangnya pada 10 Disember 2022 Haiji dan 14 lagi Adun Bersatu mengumumkan keluar daripada parti itu.

Kata Hajiji, keputusan tersebut dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia pada masa itu. Beliau turut mengumum menyokong kerajaan yang diterajui Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan.



Berdasar kronologi terbabit kemenangan Hajiji tidak boleh dinafikan kerana peranan Bersatu. Bersatu dan PAS membantu kempen sehingga kemenangan Hajiji dan 14 lagi Adun di Sabah. 

Ekoran itu Armada Bersatu menyifatkan Hajiji tidak mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera Armada dan pemuda PN bertungkus lumus memenangkan PN pada PRN Sabah.

Maka tidak hairanlah dalam situasi sekarang Hajiji paling gusar. Ini kerana tuah yang bergolek di kaki Hajiji sebelum ini hasil keringat orang lain. Dan PRN-17 tibanya masa rakyat Sabah menjadi hakim.

Pengkhianatan Hajiji bukan sahaja terhadap Bersatu, malah Umno Sabah juga menjadi mangsa. 

Pada 21 Februari 2023 lima ADUN Umno Sabah mengisytiharkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

ADUN terbabit iaitu ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung).

Selain itu tiga bekas ADUN Warisan iaitu ADUN Banggi Mohammad Mohamarin, Norazlinah Arif (Kunak) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) turut sertai Gagasan Rakyat.



Berikutan tindakan lima ADUN Umno belot, menyebabkan parti itu mempunyai 13 ADUN di Dewan Undangan Negeri Sabah. Warisan pula tinggal 16 ADUN.

Drama keluar parti dipercayai ekoran tindakan 17 ADUN Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap GRS pada 6 Januari 2023.

Ketika itu Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin memberitahu keputusan menarik diri dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji.

“Keputusan itu diambil selepas Ketua Menteri mengumumkan keluar daripada Bersatu pada Disember 2022.

“Berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah Artikel 6 (3) dan (7) menyatakan Ketua Menteri harus dipilih daripada seorang ketua parti yang memperolehi majoriti dan Hajiji bukan ahli kepada mana-mana parti.

"Hajiji tidak berparti, dia bernaung di bawah GRS. GRS ini 'grand coalition' di antara PBS, STAR, Bersatu, USNO, SAPP,” kata Bung seperti dilapor media. 


GRS tergugat

Berdasar perkembangan itu, Hajiji kemungkinan sukar untuk mempertahankan kerajaan GRS pada PRN kali ini. Episod pembelotan daripada Bersatu mengundang risiko bagi mendepani PRN-17.

Biar pun Bersatu dilihat tidak mempunyai kekuatan selepas 15 bekas Adun belot, namun rakyat Sabah masih ingat peristiwa tersebut. 

Tambah gelabah lagi apabila video yang dimuat naik sebuah portal baru-baru ini menggemparkan seluruh negara.

Video tersebut didakwa membongkar mengenai perbualan seorang ADUN dari Sabah dengan ahli perniagaan yang didakwa cuba mendapatkan kontrak menerusi tawaran wang melibatkan jutaan ringgit.

Berdasar pendedahan itu, butiran perbualan melibatkan ahli perniagaan yang menawarkan RM3 juta untuk mendapatkan kouta atau lesen.

Tiba-tiba ADUN Sindumin yang melompat dari Umno kepada GRS menafikan pembabitannya. “Ada pihak ambil kesempatan kecanggihan AI untuk mengaitkan saya dengan skandal ini,” kata Dr Yusof kepada media.

Apa pun Hajiji sedia bekerjasama dan berharap siasat juga perlu dilakukan terhadap pemberi rasuah. 

Pergolakan politik yang berlaku menggoyangkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji. Biar pun beliau mempunyai sokongan majoriti 48 ADUN, namun isu yang berlaku sehari dua ini membuat tidurnya tidak lena.

“Memandangkan tempoh kerajaan negeri sekarang berakhir Oktober 2025, tidak menghairankan maka rakyat sudah bercerita mengenai PRN17,” ujar Hajiji.

Post a Comment

0 Comments