PASIR PUTEH: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Chinese Comunication and Construction Co Ltd (CCC) diharap mengatasi masalah air bertakung di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Adun Limbongan, Nor Asilah Mohamed Zin berkata, kedua-dua syarikat itu terlibat dalam pembinaan projek ECRL khususnya di Pasir Puteh.
Kata beliau, Kelantan berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) sekarang di mana beberapa kawasan di Dun tersebut terjejas akibat terowong ECRL ditakungi air.
"Kita minta kontraktor terbabit memantau dan melaksanakan mitigasi dan pembaikan kerosakan jalan, banjir lumpur dan kerja-kerja berkaitan kerana ia memberi kesan kepada penduduk tempatan.
"Perkara itu saya bangkitkan pada sidang DUN Kelantan Ahad lepas," katanya di sini ini.
Baru-baru ini media melaporkan lebih 1,000 penduduk terbabit laluan ECRL di Pasir Puteh terjejas ekoran terowong projek tersebut di Kampung Banggol Pak Esah ditakungi air akibat hujan lebat.
Penduduk mendakwa air setinggi 0.6 meter bertakung dalam terowong berbantuk C serta tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Asilah yang juga Ketua Muslimat PAS Pasir Puteh berkata, masalah terbabit turut berlaku di DUN Selising dan DUN Gaal.
Beliau juga berkata, anggota Exco Kerajaan Negeri Dato' Dr Izani Husin turut dimaklum masalah tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan dengan peranan dimainkan Pusat Khidmat DUN.
Selain itu katanya, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh bersama pimpinan tempatan turut memainkan peranan bagi memastikan kebajikan penduduk menjadi keutamaan.
"Kerajaan mengambil maklum mengenainya. Saya berharap libat urus, pemantauan dan perbincangan secara berterusan diadakan dengan pihak terbabit," katanya.
0 Comments