Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 November- Para pelabur yang melabur di Kelantan disaran supaya mengutamakan rakyat tempatan untuk bekerja di premis mereka.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan, dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' Md Anzam AB. Rahman berkata, keutamaan kepada pekerja tempatan akan menjamin ekonomi yang lebih baik kepada rakyat Kelantan.
"Kepada para pelabur, teruskanlah mengambil pekerja tempatan dalam apa jua bidang agar ia memberi sinar kehidupan kepada pekerja serta keluarga mereka. Ini sekali gus akan menjamin ekonomi yang lebih baik kepada rakyat Kelantan."
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan aluan pada majlis pelancaran Invest @ Kelantan Forum & Expo (INFEX) 2024, di sebuah hotel di Kota Bharu, hari ini.
Menyentuh tentang INVEST, Dato' Md Anizam berkata, tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk memperkukuhkan Kelantan sebagai pusat pelaburan yang kompetitif di Malaysia.
"Penganjuran INFEX 2024 yang julung kali diadakan ini adalah sebagai titik penting dalam usaha untuk memperkukuhkan Kelantan sebagai pusat pelaburan yang kompetitif di Malaysia.
"Penganjuran program ini juga akan dapat meningkatkan pembangunan ekonomi domestik dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan yang mampan dan produktif. Ia juga memberi peluang kepada pelabur tempatan untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas serta menghubungkan mereka dengan pelabur-pelabur lain", katanya.
Sebanyak tiga segmen dengan lapan slot pembentangan telah dibentang oleh pembentang yang berpengalaman. Antaranya, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan, dan Keusahawanan YB Mohamad Nasrif Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERD) Dato' Baidzawi Che Mat.
Sesi pembentangan itu berkaitan dengan laluan pelaburan ke Malaysia, melabur dan membangun di Kelantan serta kewangan dan pemasaran.
Majlis pelancaran yang disempurnakan Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hasan itu turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negara (ADR) Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketua Jajahan dan para pelabur.
0 Comments