Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN HORMATI PIHAK BERKUASA THAILAND JALANKAN PROSES PERUNDANGAN KE ATAS ENAM INDIVIDU TERLIBAT DADAH

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA BHARU, 4 November - Kerajaan Negeri Kelantan menghormati tindakan pihak berkuasa Thailand dalam menjalankan proses perundangan terhadap enam individu yang ditahan di Sungai Golok kerana memiliki dadah jenis pil kuda pada Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kes tersebut dapat menjadi pengajaran kepada rakyat khususnya di Kelantan dalam melakukan kegiatan haram.

"Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand dan segala tindakan yang akan diambil mereka mengikut undang-undang negara itu.

"Saya difahamkan salah seorang daripada enam yang ditahan itu adalah ikon penyanyi dikir barat.

"Kita mengharapkan apa yang berlaku itu tidak benar. Tetapi sekiranya betul, kita amat sedih.

"Kita minta rakyat Kelantan yang sudah ada nama (popular) supaya berjaga-jaga dan berilah contoh teladan yang baik kepada orang lain," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Invest@Kelantan Forum dan Expo 2024 (INFEX2024) di sebuah hotel, di sini hari ini.

Menjawab persoalan berkenaan kecaman sesetengah pihak yang mengaitkan isu terbabit dengan gelaran negeri Serambi Mekah, beliau menegaskan bahawa sebagai negeri yang bersempadan dengan negara jiran, Kelantan secara tidak langsung akan menerima pengaruh daripada negara tersebut serta 'produk-produk' negara jiran.

Ujarnya, setiap negeri sememangnya mempunyai masalah jenayah dan sosial tersendiri dan telah menjadi tugas kerajaan negeri dalam menangani perkara itu bersama agensi-agensi yang terlibat.

"Alhamdulillah Kelantan ini negeri beragama, kita ada banyak sekolah-sekolah Arab, guru-guru agama, ulama dan masjid yang beroperasi.

"Rupa-rupanya Allah dah rancang begitu, sebab kita berada di barisan hadapan dan benda tak baik seperti pil kuda nak masuk ke Malaysia terpaksa melalui Kelantan dulu.

"Maka kalau kita sebuah negeri yang tak kuat, kita akan rosak.

"Biarlah orang nak kata apa kerana semua orang boleh berkata, yang penting sebagai pemimpin negeri kita kena pastikan kita dapat kawal dengan kerjasama agensi penguat kuasa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang merupakan penyanyi dikir barat Kelantan, ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok kerana memiliki 6,000 pil.

Keenam-enam individu terbabit telah dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, pagi tadi.

Post a Comment

0 Comments