Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMBAHARUAN RUU ENAKMEN KAWALAN HIBURAN SEDIA ADA, SELARAS PERKEMBANGAN SEMASA

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 26 November – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui pembaharuan undang-undang sedia ada agar sesuai dan selaras dengan perkembangan semasa.

Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Hiburan yang dibentangkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menyatakan RUU baharu itu adalah langkah strategik untuk untuk menutup sebarang kelompongan dalam enakmen terdahulu.

Beliau memberi contoh, pelucuthakan barang yang dirampas tanpa pendakwaan akan tertakluk kepada prosedur yang lebih sistematik, termasuk keperluan bayaran penyimpanan kepada pihak berkuasa.

Mentaukid hujah, beliau menyebut statistik sepanjang 20 tahun lalu menunjukkan hanya satu kes pendakwaan melibatkan kesalahan hiburan, sekali gus membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak menyekat hiburan secara mutlak. Selain itu, pengecualian eksklusif tetap diberikan kepada rakyat Kelantan yang bukan beragama Islam.

“Anggapan kesalahan yang diperuntukkan dalam RUU ini juga membolehkan penguatkuasa menjalankan siasatan dengan lebih telus,” jelasnya dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Kali-15, hari keempat, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan konsisten dengan pendirian untuk tidak membenarkan pembukaan pawagam di Kelantan kerana kemudaratan yang dikhuatiri lebih besar berbanding manfaatnya.

Sehubungan itu, YB Hilmi turut menyeru penggiat seni tempatan agar terus memelihara hiburan tradisional yang diwarisi, tanpa mencampur aduk dengan elemen yang bertentangan dengan agama dan undang-undang.

Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan

Sokongan turut disuarakan oleh Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan  yang menyifatkan RUU ini sebagai langkah mendidik, bukan semata-mata untuk menghukum.

"RUU ini bertujuan menjaga maslahah demi kebaikan rakyat Kelantan. Hiburan bukan dihalang, tetapi dipantau agar selari dengan nilai-nilai murni dan keperluan semasa," ujarnya.

Sementara itu, ADN Tendong YB Rozi Muhamad pula menegaskan bahawa setiap tindakan kerajaan dibuat melalui rundingan dan perbincangan.

"Kesalahan dalam penganjuran program hiburan perlu dipertanggungjawabkan kepada penganjur, bukan kepada kerajaan yang melaksanakan undang-undang,” tegasnya.

ADN Tendong, YB Rozi Muhamad


Post a Comment

0 Comments