Oleh: Saliemin Khesa
KOTA DARULNAIM, 26 November - Walaupun sering terpalit dengan stereotaip dan kontroversi berkaitan keagamaan, kebudayaan serta masalah sosial, kehebatan rakyat Kelantan telah terbukti apabila mereka dapat melibatkan diri dalam pelbagai sektor di peringkat nasional serta antarabangsa.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan, semangat dan usaha yang ditonjolkan oleh masyarakat Kelantan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan harus dipuji dan dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.
"Mana universiti yang pelajar Kelantan tidak ramai? Mana institusi pendidikan tinggi yang pensyarah dari Kelantan tidak ramai? Mana jabatan-jabatan kerajaan yang pekerja dari Kelantan tidak ramai? Syarikat-syarikat swasta yang tidak ada rakyat Negeri Kelantan?
"Adakah kerana mereka tidak ada pekerjaan di Kelantan? Bukan masalah mereka ini tidak ada pekerjaan di Kelantan!
"Ia kerana mereka layak untuk mengisi jawatan itu dalam mana-mana negara," katanya pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Temangan itu turut menekankan bahawa kejayaan rakyat Kelantan bukan sekadar tertumpu kepada bidang agama, tetapi turut merangkumi pencapaian dalam pelbagai sektor profesional.
Beliau juga menyeru agar semua pihak tidak memperkecilkan rakyat Kelantan yang merantau demi mencari rezeki, kerana usaha gigih mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri, malah membawa kebanggaan kepada negeri Serambi Mekah.
Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi kepada rakyat negeri itu yang tidak berputus asa dalam menghadapi alam pekerjaan walaupun tidak menetap di negeri Serambi Mekah sendiri.
0 Comments