Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMBENTANGAN RUU ENAKMEN KAWALAN HIBURAN DISOKONG PADU

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 26 November – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah mendapat sokongan padu ahli sidang dalam perdebatan hangat.

ADN Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah menzahirkan sokongan penuh terhadap RUU itu dengan menegaskan bahawa penggubalan undang-undang tersebut adalah langkah progresif untuk memperkukuh penguatkuasaan kawalan hiburan di negeri ini.

Timbalan Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta itu berkata  peningkatan denda sehingga RM50,000 menunjukkan ketegasan kerajaan negeri dalam menangani ketidakpatuhan, selain berperanan mendidik masyarakat tentang kepentingan nilai-nilai agama dan moral.

ADN Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah

“Enakmen ini jelas menentang aktiviti yang bercanggah dengan nilai Islam, termasuk LGBTQ dan penghinaan agama. Ia juga memberikan panduan moral yang mampu mengukuhkan jati diri masyarakat Kelantan.

“Ini bukan sekadar kawalan tetapi tanggungjawab bersama dalam memastikan keharmonian sosial dan kesucian agama terpelihara,” hujahnya dalam Persidangan Dewan Negeri Kelantan Kali-15, hari keempat, hari ini.

Sementara itu, ADN Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor turut memuji ketegasan kerajaan negeri dalam mengemukakan RUU ini yang disifatkan sebagai langkah penting untuk menggantikan enakmen lama.

“Kerajaan Negeri Kelantan menunjukkan keprihatinan yang tinggi dengan memperkenalkan enakmen baharu ini. Ia bukan sahaja melindungi masyarakat daripada pengaruh negatif hiburan, tetapi juga menggambarkan komitmen kerajaan untuk menegakkan syariat Islam,” katanya dalam ucapan menyokong RUU tersebut.

ADN Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor


Post a Comment

0 Comments