Ticker

6/recent/ticker-posts

PENYERTAAAN TENAGA BURUH WANITA KELANTAN DALAM SEKTOR PEKERJAAN CAPAI 43.4 PERATUS

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

KOTA DARULNAIM, 21 November – Kadar penyertaan tenaga buruh golongan wanita dalam pelbagai sektor pekerjaan di Kelantan bagi tahun 2022 sebanyak 43.4 peratus.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim berkata, angka tersebut melibatkan seramai 261,700 wanita Kelantan yang terdiri daripada golongan armalah (ibu tunggal), orang kurang upaya (OKU) serta berkeluarga.

Katanya, pencapaian itu adalah bukti kukuh terhadap keberkesanan Dasar Wanita Kelantan yang menyokong penyertaan wanita dalam pembangunan sosioekonomi negeri.

“Kelantan mempunyai Dasar Wanita Kelantan yang menyokong penglibatan dan juga penyertaan wanita dalam pembangunan sosioekonomi secara bersepadu.

“Bagi menggalakkan penglibatan wanita, antara usaha yang telah kita (kerajaan Kelantan) laksanakan adalah dengan meningkatkan kesedaran dan menyediakan akses pada pendidikan dan latihan kemahiran yang bersesuaian dengan wanita.

“Kerajaan negeri telah membina dan akan sentiasa memperkukuhkan libat urus dengan pebagai agensi dan persekutuan untuk menambah baik penglibatan wanita dalam bidang sosio ekonomi di negara kita,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2024, di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kota Lama, YB Dr. Hafidzah Mustakim mengenai kerjasama kerajaan negeri dan pusat dalam usaha meningkatkan ekonomi wanita seperti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kerajaan negeri bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan.

“Kita akan memastikan setiap peluang dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan wanita di negeri ini kerana ia adalah hak rakyat Kelantan yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments