Ticker

6/recent/ticker-posts

PUSAT TARANNUM KELANTAN LAHIRKAN GENERASI MUDA CELIK AL-QURAN

Oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 26 November – Kelantan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pendidikan seni Islam dengan penubuhan Pusat Tarannum Al-Quran Negeri Kelantan bertujuan melahirkan generasi muda celik Al-Quran.

Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, menjelaskan pusat pengajian itu menjadi platform penting untuk memperluaskan pendidikan tarannum dalam kalangan masyarakat khasnya anak muda.

Beliau menekankan bahawa program ini bukan sahaja memelihara warisan seni bacaan Al-Quran tetapi turut berfungsi sebagai medium dakwah berkesan dalam mendekatkan generasi muda dengan Al-Quran.

"Pusat Tarannum Al-Quran ini dilancarkan pada 29 Jun 2024. Program berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dengan 50 peserta terdiri daripada pelajar terpilih dan masyarakat umum. 

“Melalui promosi di laman web JAHEAIK serta kerjasama dengan pelbagai agensi luar, kelas ini menarik minat peserta tanpa mengira latar belakang," katanya ketika menjawab soalan ADN Dabong YBM Ku Mohd Zaki Ku Hussin dalam Persidangan Dewan Negeri Penggal Ke-15, hari ini.

Menurutnya, kelas itu dipimpin oleh pengajar berkaliber termasuk Dato’ Hajah Faridah Mat Saman dan Syeikh Hesham Abdelbary Rageh, yang turut disertai oleh ustaz tersohor seperti Ustaz Che Yahya Daud dan Ustaz Abdul Bari Abdullah. Gabungan tenaga pengajar ini memastikan peserta mampu menguasai tarannum, tajwid, dan fasohah dengan baik.

Tambah beliau, usaha berkenaan tidak terhad di pusat latihan utama sahaja, bahkan diperluas ke masjid dan surau di seluruh negeri. Antaranya, Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian menganjurkan kelas tarannum setiap Ahad selepas Isyak, manakala Masjid Al-Muhaimin Mukim Kok Lanas mengadakan sesi setiap Jumaat selepas Kuliah Dhuha.

"Langkah ini memudahkan komuniti setempat mendapatkan ilmu secara konsisten, selain mewujudkan kesinambungan pembelajaran seni tarannum," jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang negeri dalam memperkasa generasi pewaris seni Islam, YB Mohd Asri mengumumkan senarai bakat muda yang cemerlang dalam Musabaqah Al-Quran seperti Mohd Syakir Shafie (Kubang Kerian), Najman Anira (Pasir Puteh), dan Mohd Firdaus Mohd Fairuz (Kuala Krai) yang kini dilatih sebagai pelapis bidang tarannum.

Post a Comment

0 Comments