Ticker

6/recent/ticker-posts

RM9.7 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN KELANTAN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARUL NAIM, 26 November - Kelantan terus melakar kejayaan dalam usaha membentuk generasi belia bermaruah melalui pelbagai inisiatif bernilai RM9.7 juta, seperti yang dibentangkan dalam sesi penggulungan perbahasan bajet oleh Pengerusi Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakshari Mohamad.

Dana besar tersebut meliputi pembangunan belia dan beliawanis, Gerbang Az-Ziwaaj, program sukan, pembangunan atlet, serta sokongan dana niaga, menjadikan golongan muda sebagai aset utama negeri.

Dalam sektor pendidikan dan kemahiran, Kelantan mengetengahkan Malaysia-China Youth TVET Training Program dengan penghantaran 15 belia untuk menyertai program latihan dalam bidang kenderaan elektrik (EV). Langkah ini memberi fokus kepada golongan belia yang memiliki sijil SKM, memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran industri teknologi tinggi.

Bagi mendekatkan anak muda dengan agama, program Rakan Muda Al-Quran diperkenalkan di bawah kerjasama U-BeS dan Jabatan Belia dan Sukan. Usaha ini diselaraskan bersama program gaya hidup sihat untuk mencorakkan belia yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Dalam aspek keusahawanan, inisiatif seperti program pitching perniagaan KSTART menerima lebih 250 permohonan, menonjolkan sambutan luar jangka dari kalangan belia. Kerjasama dengan MDEC melalui program Global Online Workforce (GLOW) turut melahirkan usahawan digital berdaya saing, dengan 20 belia kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Kelantan juga mengorak langkah ke hadapan melalui program penempatan pekerjaan dengan UTM Space, melibatkan 418 belia pada tahun 2024, sekali gus menangani isu anak muda merantau. Selain itu, pembangunan perumahan generasi muda seperti Rumah Dhuafat di setiap parlimen turut diberi pertimbangan.

"Dalam bidang sukan, pencapaian cemerlang atlet Kelantan di SUKMA dan Para SUKMA 2024 menunjukkan peningkatan membanggakan, dengan 37 pingat untuk SUKMA dan 43 pingat bagi Para SUKMA. Sumbangan pasukan orang asli dan pasukan pelbagai kaum turut diraikan dalam kejohanan bola sepak seperti Piala MB 2024," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2025, pada Isnin.

Kelantan juga memperkukuh perpaduan masyarakat dengan menganjurkan Karnival Perpaduan Kelantan dan pertandingan TikTok bertemakan perpaduan. Dialog antara kaum, penghargaan kepada komuniti bukan Islam, dan penginstitusian Pusat Integriti Antara Kaum (PEKA) memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh keharmonian.

Post a Comment

0 Comments